Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan mahu menjayakan peralihan dasar daripada bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI) kepada pendekatan ‘Made By Malaysia’, dengan fokus melahirkan pemain industri Malaysia yang unggul di peringkat serantau dan global, serta mencipta harta intelek (IP), teknologi dan produk Malaysia sendiri.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kedua bagi tahun 2025 semalam membincangkan strategi pembiayaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) secara mendalam.

“Walaupun industri semikonduktor kita buat masa ini tidak terjejas secara langsung oleh tarif Amerika Syarikat (AS), penting untuk kita terus memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif. 

“Kita perlu mempergiatkan agenda reformasi ekonomi dan industri, termasuk pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing di persada dunia,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi beliau.

Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan, Tengku Zafrul berkata kerajaan sentiasa mengalu-alukan kehadiran Oracle sebagai sebahagian daripada ekosistem digital Malaysia yang berkembang pesat, menerusi penglibatan dalam transformasi industri yang dipacu secara digital dan penyelesaian isu serta cabaran yang kompleks.

“Bersama kita memacu transformasi digital Malaysia ke hadapan dan mengukuhkan kepimpinan kita dalam transformasi digital ASEAN,” katanya.-BH Online