KUALA LUMPUR: Malaysia dan rantau Asia Pasifik berpotensi besar untuk menjadi peneraju global dalam revolusi tenaga bersih, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pengembangan tenaga boleh baharu (TBB) adalah antara inisiatif utama yang meletakkan Malaysia di landasan tepat untuk menjadi kuasa tenaga solar berikutan kedudukan geografi yang strategik, limpahan cahaya matahari, serta komitmen politik yang kukuh.
“Selain itu, Malaysia juga memiliki potensi besar dalam tenaga biojisim dan pembangunan tenaga hidro. Kejayaan pelaksanaan ladang solar terapung dan projek solar berskala besar di seluruh negara menunjukkan kemampuan negara dalam memanfaatkan sumber tenaga bersih secara berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2025, di sini, hari ini.
Fadillah turut membangkitkan kepentingan Perjanjian Hijau Asia Pasifik (APG) yang bertujuan untuk memacu rantau ini ke arah masa depan rendah karbon dan lestari. Menurutnya, APG berfungsi sebagai rangka kerja strategik yang mendorong kerjasama rentas sempadan, pengoptimuman sumber TBB, dan meletakkan ASEAN sebagai peneraju global dalam sektor mampan.
“Bagi merealisasikan visi ini, negara-negara di Asia Pasifik mesti bekerjasama secara kolektif, berkongsi amalan terbaik, melabur dalam teknologi bersih, dan membangunkan pasaran karbon serantau,” katanya.
Fadillah juga menekankan bahawa negara-negara seperti Malaysia, Indonesia, dan Vietnam mempunyai potensi untuk memanfaatkan TBB masing-masing dalam mewujudkan sistem dagangan tenaga rentas sempadan. Sementara itu, negara-negara maju seperti Jepun dan Australia boleh menyokong usaha pembangunan kapasiti dan kemajuan teknologi di rantau ini.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama awam-swasta yang lebih kukuh dan kerjasama antarabangsa adalah penting dalam meraih pembiayaan serta kepakaran yang diperlukan untuk mempercepatkan peralihan tenaga bersih ini.
Sejajar dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, Fadillah berkata negara ini komited untuk memperkasa peranan ASEAN dalam peralihan tenaga global dengan memupuk integrasi serantau, inovasi, dan pelaburan dalam tenaga bersih yang lebih kukuh.
“Di bawah kepimpinan Malaysia, ASEAN akan memperhebatkan usaha menghubungkan sempadan melalui inisiatif tenaga yang diselaraskan, memanfaatkan kekuatan kolektif untuk membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan dan saling berkaitan,” katanya. – Bernama