KOTA BHARU: Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap isu buli yang berlaku membabitkan pegawai dan anggota serta bertegas dengan tindakan bakal menyusul.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari, berkata mana-mana anggota atau pegawai yang terbabit dengan isu buli bukan saja berdepan tindakan daripada kementerian atau Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi juga tidak akan terlepas dengan undang-undang negara.
“Pada peringkat kementerian, walaupun kita lihat kes buli terpencil tetapi ada tindakan diambil kerana kita tidak benarkan pembulian berlaku.
“Kita ada modul latihan yang dapat bezakan antara perkara itu dengan pembulian dan sebab itu, ada jawatankuasa serta badan pada peringkat dalaman yang akan buat keputusan dalam kes pembulian.
“Pada masa sama, mereka yang membuli itu bukan saja dikenakan tindakan di peringkat kementerian atau ATM, tetapi juga berdepan dengan undang-undang negara,” katanya selepas sambutan Aidilfitri Madani@Kota Lama di Dewan Perniagaan Cina Kota Bharu, di sini, hari ini
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim dan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad.
Adly berkata demikian ketika diminta mengulas kes kematian anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) Kem Sri Miri di Sarawak, Prebet Muhammad Muqriz Aseri, disebabkan wujud unsur kekerasan yang dilakukan terhadap mangsa.
Susulan itu, dua anggota tentera, Muhammad Afiq Syarim, 23, dari Bedong, Kedah dan Mohamad Faies Khuzaimah, 21, dari Tumpat, Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Miri atas pertuduhan menyebabkan kematian mangsa dan serta mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama kerana menyebabkan kematian.
Mengulas lanjut, Adly berkata, kementerian melalui pusat pendidikan contohnya di Maktab Tentera Diraja (MTD) mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa ditambah baik.
“SOP pendidikan di MTD sentiasa diperkemaskan antaranya penambahan warden asrama, pengasingan pelajar junior dan senior serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) lebih banyak di institusi pengajian itu.
“Pada masa sama, beri ruang psikologi sebab jika dikesan pembulian itu berlaku, pelajar yang terbabit akan diberi nasihat.
“Kita beri banyak ruang pendidikan dan pengajaran supaya kesedaran itu bukan saja kepada pelajar, tetapi keluarga yang mendidik anak,” katanya.-BH Online