KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa atas pembentukan kerajaan baharu negara itu.
Perdana Menteri berkata, Malaysia komited untuk meningkatkan hubungan dua hala khususnya dalam bidang ekonomi.
“Malaysia juga bersedia menggalakkan syarikat Malaysia untuk melabur serta menyumbang kepada usaha pembinaan semula Syria.
“Presiden al-Sharaa juga menjemput saya untuk melawat Syria sebagai usaha mengeratkan lagi kerjasama antara kedua-dua negara,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Terdahulu, Ahmed al-Sharaa diisytiharkan sebagai Presiden Syria dalam fasa peralihan, susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad yang memerintah negara itu selama 45 tahun.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh jurucakap Jabatan Operasi Ketenteraan, Kolonel Hassan Abdul Ghani, ketika Persidangan Kemenangan yang diadakan di Damsyik baru-baru ini.-BH Online