SUBANG JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menerima 108 laporan berkaitan insiden letupan paip gas bawah tanah yang mengakibatkan kebakaran besar di Putra Heights, di sini, kelmarin.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata kebanyakan laporan itu membabitkan kerosakan harta benda dialami mangsa susulan kejadian terbabit.
Bagaimanapun, katanya, jumlah laporan polis berkenaan dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
Selain itu, beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui PDRM komited membantu mangsa dan mengawal situasi supaya tidak berlaku kes kecurian di lokasi kejadian.
“Setakat ini, kita dimaklumkan tiada kes kecurian berlaku di situ, dengan keseluruhan laporan diterima membabitkan kedua-dua lokasi letupan,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa kejadian itu di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Masjid Putra Heights, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi kelmarin, kebakaran akibat letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar dan sejumlah mangsa mengalami kecederaan, selain sebahagian penduduk terpaksa berlindung di PPS.
Kebakaran saluran paip gas PETRONAS sepanjang 500 meter (m) itu turut menyaksikan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat dari jarak sejauh beberapa kilometer.-BH Online