Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Agensi menyelamat yang berada di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor kini menumpukan usaha untuk mengawal kebakaran serta menyelamatkan mangsa.

Justeru Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menasihatkan orang awam untuk tidak mendekati kawasan berkenaan sehingga situasi kebakaran dapat dikawal dan disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

“Saya mendoakan Allah SWT melindungi seluruh anggota keselamatan dan agensi kerajaan yang sedang bertugas dalam situasi yang mencabar ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, proses mencari dan menyelamat mangsa sedang berlangsung dan sehingga jam 11 pagi tadi, usaha evakuasi oleh JBPM sudah mengeluarkan tujuh orang mangsa, termasuk dua warga emas.

“Unit Pengurusan Bencana Negeri sudahpun membuka satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Putra Heights dan bekerjasama dengan JPBM untuk menerima mangsa evakuasi. 

“Sementara itu, Jabatan Kesihatan Selangor turut bersedia menerima mangsa untuk dirawat di hospital berdekatan,” katanya.

Beliau memaklumkan, PETRONAS juga sudah menutup injap saluran gas yang bocor dan menyebabkan kebakaran pagi tadi.

“Namun begitu, keadaan api masih marak disebabkan sisa gas yang masih di dalam saluran gas berkenaan dan ini sudah menyebabkan api marak menjulang tinggi di kawasan Jalan Putra Harmoni, Putra Heights,” katanya.

Satu kebakaran besar tercetus pagi ini susulan letupan saluran paip gas bawah tanah yang terletak berdekatan laluan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) menuju ke Putra Heights, pagi ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan kebakaran itu membabitkan saluran paip gas LPG yang terletak di Jalan Putra Harmoni, Putra Height.

Balai Bomba Subang Jaya yang terletak kira-kira 13 kilometer dari lokasi kejadian terbabit, menerima maklumat pertama letupan itu pada jam 8.10 pagi.

Susulan itu, anggota bomba dan penyelamat daripada balai berkenaan dengan bantuan beberapa balai berdekatan termasuk Puchong dikejarkan ke lokasi.-BH Online