JOHOR BAHRU: Banjir yang melanda negeri ini pulih sepenuhnya apabila pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading di Batu Pahat ditutup jam 6 petang tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, PPS itu ditutup selepas 140 mangsa banjir terakhir yang ditempatkan di PPS terbabit dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Semua mangsa banjir terakhir yang terdiri daripada 44 keluarga itu adalah penduduk Kampung Baharu di Parit Raja, Batu Pahat.
“PPS yang dibuka jam 1 petang, 24 Mac lalu itu kini ditutup operasinya,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Johor mula dilanda banjir pada 20 Mac lalu selepas hujan berterusan sejak 19 Mac lalu dengan Johor Bahru daerah pertama yang terjejas dan juga daerah yang paling teruk terjejas.
Selain Johor Bahru, daerah lain yang terjejas banjir adalah Pontian, Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi dan Kulai dengan jumlah mangsa banjir tertinggi adalah seramai 13,089 membabitkan 3,749 keluarga pada jam 4 pagi hingga 8 pagi, 22 Mac lalu.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru sehingga jam 7 malam ini, manakala tiada amaran hujan dikeluarkan di mana-mana daerah di negeri ini.
Setakat pagi ini, hanya daerah Muar yang dilaporkan mendung, manakala Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat, Kota Tinggi serta Kulai dilaporkan hujan dan lima lagi daerah di di negeri ini dilaporkan cerah.-BH Online