MYANMAR, 28 Mac- Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar tengah pada Jumaat.
Menurut Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut menyebabkan jalan raya di ibu kota Naypyidaw rosak, dan gegaran turut dirasai di China dan Thailand.
“Titik pusat gempa itu terletak 16 kilometer (10 batu) barat laut bandar Sagaing pada kedalaman 10 kilometer sekitar pukul 12.50 tengah hari waktu tempatan,” menurut USGS.
Beberapa perkhidmatan metro dan rel ringan telah dihentikan di Bangkok.
Wartawan AFP di Naypyidaw melaporkan bahawa jalan-jalan rosak akibat gegaran tersebut dan serpihan siling jatuh dari bangunan.
Gegaran turut dirasai di seluruh Thailand utara hingga ke ibu kota Bangkok, di mana penduduk berlari keluar ke jalan apabila bangunan-bangunan bergegar.
Gegaran turut dirasai di wilayah Yunnan, barat daya China, menurut agensi gempa Beijing, yang melaporkan bahawa gegaran itu berukuran 7.9 magnitud.
Gempa bumi adalah kejadian yang agak biasa di Myanmar, di mana enam gempa kuat dengan berukuran 7.0 magnitud atau lebih telah berlaku antara tahun 1930 hingga 1956 berdekatan dengan Patahan Sagaing, menurut USGS.
Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud di ibu kota kuno Bagan di tengah Myanmar pada tahun 2016 mengorbankan tiga nyawa, selain meruntuhkan menara dan merosakkan dinding kuil di destinasi pelancongan tersebut.- AFP