KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan memperuntukkan RM1.9 bilion kepada Prasarana Malaysia Bhd (PRASANA) untuk membeli 1,660 bas diesel dan elektrik baharu secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata sebanyak 310 bas akan menjadi unit enjin diesel, ia akan menjadi kumpulan terakhir menggunakan enjin jenis itu manakala selebihnya adalah bas kenderaan elektrik (EV).
“310 bas berenjin diesel berkenaan akan dihantar mulai Jun tahun ini manakala penghantaran 250 bas EV akan dimulakan menjelang akhir tahun ini.
“Sebanyak 1,000 lagi iaitu bas EV akan ditambah mengikut fasa ke dalam sistem dan ini akan menelan kos sejumlah RM1.9 bilion,” katanya dalam sidang media pada pelancaran sistem pembayaran terbuka RapidKL Atas Permintaan (On-Demand) PRASARANA hari ini.
RapidKL On-Demand ialah perkhidmatan van ‘feeder’ Prasarana dan sebelum ini dikenali sebagai Demand Response Team.
Ia kini mengendalikan sebanyak 110 van di 37 zon di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Amir Hamzah berkata kerajaan juga memperuntukkan RM55 juta lagi untuk pembelian tambahan 320 van, ia dijangka beroperasi di 101 zon menjelang Jun tahun ini.
“Ini adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memperkukuh infrastruktur pengangkutan awam. Kami mahu menjadikan kehidupan lebih baik untuk rakyat.
“Salah satu aduan utama (pengangkutan awam) diterima adalah perjalanan pertama dan terakhir (bermula dari hab ke destinasi akhir). Dengan menambah RapidKL On-Demand ini, kami meluaskan tempat pengambilan penumpang dan menjadikan pengangkutan awam lebih mudah diakses,” tambahnya.
Sementara itu, mengenai kemajuan pelan rasionalisasi subsidi RON95, Amir Hamzah berkata mekanisme subsidi baharu akan datang melibatkan 85 peratus penduduk, ia akan dilaksanakan menggunakan sistem MyKad.
Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON5 akan menggunakan mekanisme yang sama seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan dijangka memberi manfaat kepada sekitar 5.4 juta orang.
Beliau berkata butiran lanjut mengenai perkara tersebut akan diumumkan pada separuh kedua tahun ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah. – BERNAMA