Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama rakan pelaksana memperuntukkan dana bernilai RM1.5 bilion bagi menyokong inisiatif mendigitalkan perniagaan di seluruh negara.

Dana ini diwujudkan melalui kerjasama strategik awam-swasta membabitkan agensi kerajaan dan rakan sokongan termasuk institusi kewangan, bank digital, platform pembiayaan Peer-to-Peer (P2P) serta penyedia perkhidmatan tempatan.

Ia bertujuan menyediakan penyelesaian digital bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di samping menawarkan kemudahan pembiayaan digital yang menyokong keperluan operasi harian komuniti ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan pemilik perniagaan memahami kepentingan aspek pengurusan kewangan menerusi kaedah digital yang membolehkan mereka mendapat lebih manfaat terutama dari segi sokongan dan jaminan untuk pembiayaan perniagaan mereka.

“Rakan strategik ini bukan sahaja akan menyediakan penyelesaian digital untuk membantu pendigitalan perniagaan, tetapi juga berperanan dalam menyediakan akses pembiayaan bagi memudahkan PMKS beralih ke arah digitalisasi.

“Melalui kerjasama dengan rakan strategik ini, sukacita saya ingin memaklumkan sekurang-kurangnya RM1.5 bilion nilai dana tersedia boleh dimanfaatkan untuk membantu PMKS mendapatkan penyelesaian dan aplikasi digital, serta pembiayaan operasi perniagaan yang dipacu oleh kaedah digital dan data transaksi perniagaan secara digital,” katanya pada pelancaran Inisiatif Pendigitalan Perniagaan di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy.

Majlis berkenaan menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara MDEC bersama SME Corp Malaysia, institusi kewangan, bank digital, platform P2P serta penyedia perkhidmatan tempatan.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, 21 Penyedia Perkhidmatan e-Invois yang diiktiraf MDEC akan menawarkan penyelesaian e-invois secara percuma dan berpatutan untuk PMKS.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, lebih 60 peratus perniagaan di Malaysia masih berada di tahap digitalisasi asas, bersamaan dengan lebih 650,000 PMKS yang belum mengadaptasi teknologi secara menyeluruh.

“Walaupun 93.1 peratus PMKS sudah menggunakan internet, pelaburan dalam teknologi digital yang lebih canggih masih rendah.

“Menurut Laporan Bank Dunia, hanya lebih 50 peratus perusahaan kecil yang melabur dalam penyelesaian digital, jauh lebih rendah berbanding 80 peratus bagi perusahaan sederhana dan besar,” katanya.-MyMetro Online