Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Seramai 5.4 juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) layak menerima bantuan itu secara keseluruhannya sehingga RM2,100 sepanjang tahun ini, bermula 1 April ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan MADANI meluaskan pelaksanaan SARA membabitkan peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

“Penerima yang layak akan menerima bantuan SARA sehingga RM2,100 secara keseluruhan pada tahun ini, berbanding RM1,200 pada tahun 2024.

“Ia membabitkan peningkatan 75 peratus daripada tahun lepas. Bantuan ini akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata peluasan bantuan itu adalah sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kepada RM13 bilion pada tahun ini.

Beliau berkata, ia sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat.

“SARA adalah pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan. 

“Penyaluran SARA melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah itu memastikan golongan sasar

menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas,” katanya.

Beliau berkata, 5.4 juta penerima adalah terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada di dalam rekod eKasih yang menerima bantuan itu sejak Januari lalu. 

Katanya, mulai 1 April ini, mereka akan menerima bantuan tambahan SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah.

“Penerima juga terdiri daripada 4.7 juta penerima STR sedia ada yang tidak berada di dalam rekod eKasih. Mulai 1 April ini, mereka akan menerima bantuan baharu SARA sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah.

“Mulai tahun ini, penyaluran SARA melalui penggunaan MyKad akan diperluas ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berbanding hanya di negeri Semenanjung pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata, kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima SARA yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, di bawah program SARA, penerima boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700, tahun lalu.

“Penerima SARA boleh menggunakan kredit yang disalurkan untuk membeli barangan keperluan asas terpilih di bawah kategori barangan kebersihan diri, ubat-ubatan dan peralatan persekolahan, selain daripada barangan makanan asas,” katanya.

Soalan lazim (FAQ) dan semakan status kelayakan SARA boleh didapati di Portal Rasmi STR, pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my, manakala maklumat lanjut mekanisme pelaksanaan SARA pula boleh dirujuk di https://www.mykasih.com.my.-MyMetro Online