Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Angka terkini Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Februari 2025 menunjukkan kadar inflasi negara kekal rendah dan terkawal, kata Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Beliau berkata, inflasi kekal stabil pada 1.5 peratus, menunjukkan tekanan harga semakin reda sejak Mei 2024 iaitu sebanyak 2.0 peratus.

Katanya, ekonomi negara kekal stabil, bukan sekadar angka, tetapi kesannya dirasai rakyat.

“Malaysia mencatat inflasi lebih rendah berbanding Vietnam (2.9 peratus) dan Filipina (2.1 peratus). Ini beri kelebihan besar untuk tarik pelaburan dan kekalkan keyakinan pasaran,” katanya dalam hantarannya di platform media sosialnya.

Rafizi berkata, kenaikan harga dalam sektor penting semakin perlahan dengan harga dalam sektor perumahan, utiliti dan infrastruktur turun daripada 2.8 peratus kepada 2.3 peratus. 

Beliau berkata, kos kesihatan dan pengangkutan juga lebih rendah, masing-masing 1.0 peratus dan 0.7 peratus.

“Kadar inflasi ini menunjukkan pergerakan harga barang yang tidak naik secara mendadak dan terkawal memberikan lebih ruang untuk berbelanja. 

“Kerajaan akan terus melaksanakan dasar ekonomi yang akan terus mengukuhkan ekonomi negara dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada 2025, didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, meskipun terdapat ketidakpastian luaran yang semakin ketara yang boleh menyebabkan perkembangan eksport yang lebih sederhana.

Pada tahun ini, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dijangka berpurata antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus. 

Inflasi dijangka menunjukkan trend menaik namun akan kekal terkawal berikutan keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlebihan.-BH Online