Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Padang Besar: Pelabuhan Darat Perlis atau Perlis Inland Port (PIP) bakal menjadi mercu kepada pertumbuhan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand pada masa akan datang.

Malah, ia turut membuka peluang kepada aktiviti ekonomi berkaitan di koridor utara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek PIP adalah bukti hasil pencapaian untuk ekonomi negara dan rakyat apabila kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta pihak swasta dapat menjalin kerjasama dengan baik.

“PIP bukan saja berperanan sebagai pemangkin kepada aktiviti industri dan logistik di koridor utara tetapi lokasi strategiknya di sempadan utara negara turut menjadikannya sebagai bakal pusat utama pengendalian kargo antara Malaysia dan Thailand.

“Pada masa kini, Terminal Kontena Padang Besar (TKPB) mengendalikan kontena dari selatan Thailand menuju ke Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang menggunakan perkhidmatan tren kargo malah pada tahun lalu, pengendalian kontena di TKPB meningkat sebanyak 21 peratus berbanding 2023 dengan laluan kargo aktif dari Prai ke Kantang, Surat Thani dan Bangklam serta dari Pelabuhan Klang ke Hat Yai. 

“Antara komoditi penting yang diangkut termasuk kayu, lateks, kayu potong dan getah. Aliran trafik kargo dari selatan Thailand yang meningkat sepanjang tahun menyebabkan jumlah pengendalian kontena hampir mencapai 80 peratus kapasiti maksimum TKPB,” katanya selepas menghadiri Majlis Menandatangani Perjanjian Operasi dan Penyelenggaraan di antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Inland Port Perlis Sdn Bhd (IPPSB) serta Lawatan Kerja Menteri Pengangkutan ke Padang Besar dan Alor Setar di IBC Galeri, Kawasan Perindustrian Lembah Chuping, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Rahimi Ismail, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk M Jana Santhiran, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, CEO Perbadanan Aset Keretapi, Datuk Azhar Ahmad dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Mutiara Perlis Sdn Bhd, Datuk Shabaruddin Ibrahim

Loke berkata, perkhidmatan yang disediakan di TKPB juga terhad kepada operasi ‘Lift-On/Lift-Off’, penyusunan kontena dan penyimpanan kontena.

“Oleh itu, operasi TKPB akan dipindahkan ke PIP secara berfasa sebaik saja PIP Fasa 1 siap sekitar Julai tahun ini yang mana peralihan operasi ini bertujuan bagi menampung aliran trafik kargo dari selatan Thailand serta mengurangkan kesesakan di Padang Besar.

“Fasa 1 PIP yang dijangka siap pada suku ketiga tahun 2025 berupaya mengendalikan 300,000 TEUs berbanding kapasiti maksimum 150,000 TEU di TKPB dan peningkatan kapasiti ini akan memberi impak yang signifikan kepada kelancaran operasi pengangkutan kargo antara Malaysia dan Thailand.

“Antara perkhidmatan nilai tambah yang disediakan oleh PIP termasuk Stuffing dan De-stuffing, Packing dan Repacking, Fumigation dan Container MRO dan hasrat sasaran perdagangan dua hala antara Malaysia dan Thailand sebanyak USD30 bilion menjelang 2027 boleh dicapai dengan perkhidmatan dan kemudahan nilai tambah yang ditawarkan oleh PIP seperti aktiviti penggudangan dan penyimpanan serta peranan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran barangan,” katanya.-BH Online