PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya Kerajaan MADANI membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 bagi penjawat awam kerajaan Terengganu.
Kementerian Kewangan berkata, BKKA itu akan memanfaatkan lebih 14,000 penjawat awam negeri berkenaan dan akan disalurkan sebelum perayaan Aidilfitri bagi menyerikan persiapan menyambut lebaran.
“Lanjutan daripada lawatan ke Terengganu pada 21 Mac 2025 oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Kerajaan MADANI bersetuju untuk membiayai BKKA bagi penjawat awam Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, Kerajaan MADANI kekal komited dengan prinsip kesaksamaan dan pendekatan yang manusiawi supaya kemakmuran negara dapat dirasai secara bersama, sejajar dengan wawasan Menaikkan Lantai dalam kerangka Ekonomi MADANI.
Katanya, semoga sumbangan itu membawa sedikit kegembiraan kepada mereka yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah.
Perdana Menteri dilaporkan berkata, kerajaan juga bersetuju menyalurkan BKK Aidilfitri sebanyak RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.-BH Online