SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan notis larangan operasi serta-merta ke atas 11 bas yang didapati tidak selamat untuk berada di ayas jalan raya.
Larangan dikeluarkan hasil Pra-Operasi Khas Sempena Aidilfitri dengan 500 bas diperiksa sejak 17 Mac lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata operasi itu membabitkan pemeriksaan ke atas kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas yang membabitkan aspek teknikal di terminal dan depoh bas seluruh negara.null
“Hasil operasi, lebih 500 bas diperiksa di depoh terbabit terlibat dan slip pemeriksaan dikeluarkan bagi kenderaan yang mematuhi standard di samping aktiviti penyelenggaraan dilaksanakan dengan baik.
“JPJ juga mengesan 11 bas yang didapati tidak ‘roadworthy’ (selamat untuk berada di atas jalan raya) dan notis larangan penggunaan bas dikeluarkan serta-merta.
“JPJ tidak berkompromi dengan mana-mana kenderaan perkhidmatan awam yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya pada sidang media sempena Majlis Santuni Ramadan di Masjid An-Munawarah Taman Panchor Jaya, di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadli Ramli.
Dalam perkembangan berkaitan, Loke berkata 2,500 anggota penguat kuasa JPJ akan bertugas sepanjang Aidilfitri bermula 24 Mac hingga 8 April ini, dengan anggota akan berada di lapangan 24 jam.-BH Online