TUARAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihati umat Islam supaya menjadikan Ramadan sebagai medan untuk melatih integriti dan disiplin diri.
Perdana Menteri menjelaskan dalam bulan mulia itu, umat Islam wajib berpuasa dan ibadah berkenaan melatih diri akan erti integriti serta disiplin dalam meningkatkan ketakwaan dan juga keyakinan kepada Allah SWT.
“Siapa yang tahu kamu berpuasa atau tidak… itu hanya kamu dan Allah. Jadi, ini sendiri melatih integriti dan disiplin dalam menunaikan ibadah puasa.
“Kita dilatih untuk berpuasa, apa erti disiplin, integriti dan keperibadian unggul… kerana kita dilatih bertanggungjawab kepada Allah. Integriti ini dilatih ketika Ramadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Sabah di Padang Istiadat, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Selain itu, Anwar berkata, Ramadan juga mengajar dimensi kemanusiaan kepada umat Islam dengan merasai sendiri pelbagai cabaran, termasuk lapar dan dahaga, selain kesukaran yang dialami golongan kurang berkemampuan.
“Ramadan mengajar kita ada nilai rahmah. Sudah dua pertiga Ramadan ini, apakah benar ada kesedaran kita menjaga orang miskin…. kalau betul, kita bantu anak yatim dan orang miskin pada Ramadan ini supaya mereka menyambut Aidilfitri dengan gembira.
“Ramadan mengajar kita lebih prihatin terhadap jiran tetangga yang susah. Kita dapat merasai bagaimana sukarnya hidup dalam kemiskinan,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam memakmurkan masjid serta menunaikan tanggungjawab membayar zakat bagi membantu golongan yang memerlukan.
“Bayar zakat sekali lagi mengingatkan kita (bahawa) ini instrumen ekonomi penting untuk membantu rakyat yang susah. Di sekeliling kita masih ada yang merempat hidupnya,” katanya.-BH Online