KAJANG: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) bakal dijenamakan semula bagi memastikan ia menjadi antara nadi penting kepada usaha kerajaan membasmi penyalahgunaan dadah di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata penjenamaan semula itu bagi menzahirkan kesungguhan kerajaan membanteras kegiatan dadah.
“Penjenamaan semula PEMADAM yang sudah berusia 49 tahun, adalah bagi membentuk imej baharu organisasi itu dari semua aspek serta pendekatan. null
“Ini kerana kami mahu PEMADAM menjadi salah satu organisasi penting kepada negara dan kerajaan dalam pembasmian dadah yang merupakan musuh nombor satu negara.
“Perkara itu boleh dilakukan melalui kerjasama PEMADAM dengan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang mempunyai matlamat sama membanteras dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Penghayatan Nilai-Nilai Nurni sempena Ihya’ Ramadan anjuran AADK, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.null
Shamsul Anuar yang juga Yang Dipertua PEMADAM Kebangsaan berkata, beliau mempengerusikan mesyuarat bulanan PEMADAM pada hari ini yang membincangkan mengenai penjenamaan semula organisasi berkenaan.
“Antara perkara dibincangkan pada mesyuarat itu ialah fokus PEMADAM serta cabaran dihadapi, termasuk berkaitan pemulihan penagih dadah.
“Sudah tentu PEMADAM perlu melakukan perubahan untuk melaksanakan peranan mereka bersama AADK. Justeru, banyak pandangan dikemukakan dalam mesyuarat hari ini yang turut merangkumi laporan daripada wakil PEMADAM di seluruh negara.
“Selain itu, persidangan meja bulat membabitkan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi (IPT), AADK serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berlangsung,” katanya.
Beliau berkata, penjenamaan semula itu akan dilancarkan selepas mesyuarat agung tahunan organisasi berkenaan diadakan pada Jun depan.-BH Online