Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan Kementerian Kerja Raya (KKR) meneruskan penggunaan teknologi terkini yang sesuai dan menjimatkan kos bagi perancangan, penyediaan serta pembinaan untuk memastikan setiap projek dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan segera.

Dalam hantaran melalui Facebook, malam tadi, Perdana Menteri berkata, kementerian itu juga mesti berusaha menghasilkan infrastruktur berkualiti dan berfungsi sebagaimana yang dimatlamatkan.

“KKR juga perlu merencanakan kaedah dan proses yang baharu dengan melaksanakan idea, strategi, perubahan serta reformasi yang cepat, selari arus teknologi dan pembangunan negara masa kini dengan sumber yang terhad,” katanya.

Perkara itu ialah antara yang dibangkitkan beliau pada Mesyuarat Pengurusan Tertinggi KKR di Kompleks Kerja Raya sempena Program Ihya Ramadan, semalam, bagi mendengar perkembangan terkini gerak kerja kementerian berkenaan dan mengenal pasti permasalahan berbangkit.

Turut hadir ialah Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan, serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Anwar berkata, KKR dan agensi bawah seliaannya adalah organisasi sangat kritikal.

Beliau berkata, ini kerana ia adalah pelaksana utama bagi projek berskala besar dan sederhana merentasi semua kementerian bawah Rancangan Malaysia, selain projek kecil merentasi negeri dan daerah bagi memenuhi keperluan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.-BH Online