Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) memerlukan perubahan segera bagi membolehkannya kekal berdaya saing serta menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia.

Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata semua pihak berkaitan terutamanya syarikat OGSE perlu melaksanakan beberapa transformasi utama bagi membina sektor yang berdaya tahan.

Beliau berkata, syarikat OGSE tempatan perlu memanfaatkan kepakaran tenaga peralihan untuk menembusi pasaran pengguna hiliran memandangkan mereka memiliki kelebihan teknologi untuk beralih kepada panel solar dan bahan api penerbangan lestari.

Malah, katanya sejak pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), terdapat lonjakan minat pelabur asing terhadap sektor OGSE Malaysia khususnya daripada syarikat Jepun yang terbabit dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

Namun, menurutnya, minat pelaburan itu tidak dapat dipenuhi kerana terdapat ketidakseimbangan dalam penawaran disebabkan tidak ramai peserta tempatan yang bersedia untuk merebut peluang itu. 

“Justeru, visi kedua adalah untuk meningkatkan skala pemain OGSE tempatan supaya mereka menjadi juara serantau. 

Ini berdasarkan hakikat bahawa 80 peratus syarikat OGSE terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“Mereka kekurangan skala ekonomi dan rangkaian untuk berkembang secara mampan ke peringkat antarabangsa,” katanya selepas melancarkan Kajian Separuh Penggal Pelan Induk Industri OGSE Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron; Pengerusi Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Datuk Dr Ahmad Suhaili Idrus dan Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif MPRC, Mohd Yazid Jaafar. 

Seluruh masa depan sektor OGSE ketika ini sedang berdepan tekanan antara daya tahan kewangan, geopolitik dan peralihan tenaga. 

Kejutan geopolitik akibat peperangan mencetuskan turun naik harga minyak yang ketara, mewujudkan ketidaktentuan yang menjejaskan keselamatan rantaian bekalan.

Rafizi berkata, syarikat OGSE utama di Asia Tenggara mempunyai kehadiran global yang kukuh, diterjemahkan kepada pendapatan lebih tinggi.

Beliau berkata, bagi mencontohi kejayaan itu, kerajaan merangka Program Juara Serantau, yang bertujuan untuk mewujudkan lima syarikat bersaiz pertengahan dengan pendapatan melebihi RM50 juta menjelang 2030. 

Katanya, idea utama program itu adalah untuk mengenal pasti peluang dan mempertemukan pihak yang sesuai. 

“Seterusnya, kita menyokong proses pemeteraian perjanjian dengan menyediakan akses kepada pembiayaan dan pemasaran. Ini boleh dilakukan melalui penggabungan dan pengambilalihan (M&A), pembelian pengurusan (MBO) atau usaha sama (JV). 

“Matlamat akhirnya adalah untuk meningkatkan aktiviti komersial dan menaikkan hasil eksport kepada sekurang-kurangnya 50 peratus,” katanya.

Ketika ini, terdapat sebanyak 2,894 entiti yang terbabit dengan aktiviti OGSE merentasi pelbagai sektor. 

Sektor perkhidmatan mendahului dengan 1,643 entiti (56.8 peratus), diikuti oleh pembinaan (27.7 peratus), pembuatan (8.7 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (6.8 peratus).-BH Online