Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANDAR BAHARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas lebih 245,000 naskhah berkaitan al-Quran bernilai RM12 juta antara 2018 hingga tahun lalu. 

Menteri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata rampasan menerusi pemeriksaan terhadap 15,000 premis oleh Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN mengikut Akta Percetakan Teks al-Quran 1986.

“Antara tahun 2018 hingga 2024, bahagian ini telah memeriksa 15,000 premis yang membawa kepada rampasan 245,534 bahan berkaitan al-Quran.

“Hasil pemeriksaan tersebut, sebanyak 1,220 kertas siasatan telah dibuka dengan nilai rampasan berjumlah RM12 juta,” katanya selepas Program Pemantapan Nilai Murni KDN sempena Nuzul al-Quran dan Ihya Ramadan di Masjid Al-Islah, Kampung Permatang Kerat Telunjuk, malam tadi.

Saifuddin berkata, pada tahun lalu sahaja, KDN merampas 22,492 naskhah berkaitan al-Quran bernilai RM3.4 juta hasil pemeriksaan di 6,439 premis. 

Selain itu, beliau berkata sepanjang Ramadan ini, kementerian sedang melaksanakan Ops Mulia bagi memastikan pematuhan Akta Percetakan Teks al-Quran. 

Sepanjang tahun lalu, KDN telah memeriksa 822 premis yang membawa kepada rampasan 8,212 naskhah al-Quran dan 11,694 bahan berkaitan al-Quran bernilai RM2.7 juta, dengan 160 kertas siasatan dibuka. 

Sementara itu, Saifuddin berkata kementerian turut melaksanakan Program Pemeliharaan al-Quran bagi memastikan proses pelupusan naskhah yang rosak dilakukan dengan betul.

Katanya, proses ini membabitkan pembakaran sehingga menjadi abu sebelum dilepaskan ke laut.-BH Online