KUALA LUMPUR: Jumlah pendaftaran hak cipta membabitkan karya muzik dan rakaman bunyi agak rendah, sekali gus membuktikan kesedaran serta kefahaman dalam kalangan penggiat seni khususnya artis muda belum meluas.
Sehubungan itu, Majlis Advokasi Royalti Muzik anjuran Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) antara sebahagian strategi dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk mengukuhkan perlindungan hak cipta penggiat seni.
Menteri berkaitan, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pihaknya melihat pencapaian objektif pengukuhan perlindungan hak cipta memerlukan kesedaran, pemahaman dan pembabitan golongan sasar dalam kalangan penggiat seni, khususnya komposer, penulis lirik, artis, penerbit dan syarikat rakaman.
Ini berikutan fungsi MyIPO mendaftarkan harta intelek termasuk hak cipta dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan serta menggerakkan advokasi kesedaran dan pendidikan berhubung harta intelek.
“KPDN dan MyIPO mengadakan advokasi berkaitan royalti muzik sebagai strategi untuk memastikan kami dapat menyuntik kefahaman, kesedaran dan pembabitan dalam kalangan ‘stakeholder’ khususnya penggiat seni mengenai hak terkandung mengikut Akta Hak Cipta 1987.
“Ini disebabkan kesedaran dan kefahaman dalam kalangan penggiat seni khususnya artis muda belum meluas lagi. Mereka hanya mendengar berkaitan royalti muzik, namun belum memahami apakah sebenarnya hak mereka sebagaimana terkandung dalam perundangan.
“Jadi, program ini cukup penting untuk diteruskan ke pelbagai peringkat. Ia juga mengukur keberkesanan MyIPO dan KPDN dalam sektor penguatkuasaan melindungi hak cipta dan harta intelek,” katanya yang ditemui pada Majlis Advokasi Royalti Muzik di ibu negara, kelmarin.
Bagaimanapun, Armizan berkata, usaha itu bergantung kepada kerjasama penggiat seni. Berikutan itu, pihaknya menuntut sokongan penggiat seni, lebih lagi, melihat jumlah pendaftaran hak cipta agak rendah terutama hak cipta membabitkan karya muzik dan rakaman bunyi.
“Antara Januari 2023 hingga Februari 2025, kami menerima 17,402 permohonan pendaftaran hak cipta. Hak cipta ini terbahagi kepada tujuh komponen. Dua daripadanya, karya muzik dan rakaman bunyi.
“Karya muzik hanya mencatatkan 170 pendaftaran dan rakaman bunyi (146).
“Melihat jumlah ini membuatkan kami merasakan pentingnya usaha advokasi ini. Penggiat seni perlu memahami ekosistem ini, misalnya sesebuah karya dihasilkan dan penting pemilik karya mendaftarkan hak cipta.
“Sekiranya pemilik tidak mendaftar hak cipta, maka tuntutan royalti bagi artis yang menyanyi bagi lagu berkenaan agak sukar untuk diperjuangkan. Itu sebab pentingnya pemilik karya mendaftarkan hak cipta,” katanya.
Perkenal sistem CR2U
Armizan berkata, kini tiada lagi alasan dari segi pendaftaran yang boleh dijadikan isu kerana pihaknya sudah melaksanakan penambahbaikan dalam proses pendaftaran hak cipta.
Katanya, bagi memudahkan proses pendaftaran, MyIPO memperkenalkan sistem dalam talian Copyright to You (CR2U), yang mempercepatkan tempoh pendaftaran dan notifikasi hak cipta daripada tempoh tiga hingga enam bulan kepada 30 minit sebaik butiran permohonan lengkap dibuat.
“Kami sudah permudahkan dari segi urusan pendaftaran. Sebelum ini, pendaftaran dibuat secara fizikal, tapi sekarang ada sistem dalam talian menerusi program CR2U.
“Kami lihat apabila program ini dilancarkan jumlah pendaftaran semakin meningkat. Tapi, bagi jenis lima komponen lain, bukan karya muzik dan rakaman bunyi,” katanya.
Sejak diperkenalkan penghujung 2023, pendaftaran hak cipta menunjukkan peningkatan kepada 9,363 pada 2024 berbanding 6,807 pada 2023.
Sementara itu, berkongsi mengenai kontroversi berkaitan dengan badan pengumpulan royalti secara kolektif atau Collective Management Organization (CMO), Armizan berkata, pihaknya sudah melaksanakan pengenalan Garis Panduan Pengoperasian CMO bagi proses untuk memperkukuh pengurusan royalti muzik.
Katanya, inisiatif itu dilaksanakan susulan daripada pelbagai aduan dan isu yang berbangkit sejak sekian lama termasuk daripada artis.
“CMO dilesenkan di bawah Akta Hak Cipta oleh MyIPO, di mana CMO boleh diwujudkan untuk mewakili pemilik karya untuk mengutip daripada pengguna karya. Sebelum ini, tiada garis panduan, di mana kami lesenkan dan mereka boleh bergerak menerusi perlembagaan masing-masing.
“Namun, kami dengar pelbagai isu berbangkit, sama ada daripada artis, terutamanya berkaitan agihan, royalti dan tempoh agihan sejak CMO diwujudkan.
“Ada juga isu berkaitan pengguna karya seperti hotel dan sebagainya.
“Maka, kami lihat perlu untuk membuat mekanisme tertentu dan sebab itulah pindaan ke atas Akta Hak Cipta 1987 dibuat yang berkuatkuasa pada Mac 2022 dengan diwujudkan klausa baharu di bawah Seksyen 27M.
“Di bawah seksyen ini, MyIPO mempunyai punca kuasa untuk mewujudkan garis panduan,” katanya.
Peruntukan baharu itu memberikan kuasa kepada pengawal iaitu MyIPO mengeluarkan garis panduan mengenai apa-apa perkara berhubung dengan perisytiharan dan pengendalian CMO.
Sebelum ini, MyIPO hanya diberikan kuasa untuk melesenkan CMO dan tidak ada sebarang garis panduan pengoperasian.
Melalui peruntukan undang-undang baharu diluluskan dan mula berkuatkuasa pada 18 Mac 2022, MylPO diberikan punca kuasa mewujudkan garis panduan untuk memastikan pengoperasian CMO diperkukuhkan dengan menepati kepentingan semua pihak termasuk artis, komposer dan penulis lirik.
Garis panduan pengelolaan CMO
Armizan berkata, objektif garis panduan itu untuk memastikan pengukuhan menyeluruh pengelolaan CMO termasuk aspek penentuan kadar dan proses agihan royalti.
“Saya suarakan pada MyIPO, isu lama ini perlu diselesaikan. Jadi, saya katakan selepas ini buat libat urus yang menyeluruh dengan segera. Kami perlu memuktamadkan garis panduan ini bukan hanya mendengar satu suara sahaja, tapi secara menyeluruh.
https://googleads.g.doubleclick.net/pagead/ads?gdpr=0&client=ca-pub-7290637544752706&output=html&h=358&adk=1983910584&adf=3698667709&pi=t.aa~a.1654364369~i.65~rp.4&w=430&abgtt=6&lmt=1742361414&num_ads=1&rafmt=1&armr=3&sem=mc&pwprc=9625033039&ad_type=text_image&format=430×358&url=https%3A%2F%2Fwww.bharian.com.my%2Fhiburan%2Fselebriti%2F2025%2F03%2F1374204%2Fartis-muda-tak-faham-soal-royalti-hak-cipta&fwr=1&pra=3&rh=332&rw=398&rpe=1&resp_fmts=3&sfro=1&wgl=1&fa=27&dt=1742361415485&bpp=1&bdt=838&idt=0&shv=r20250305&mjsv=m202503130101&ptt=9&saldr=aa&abxe=1&cookie=ID%3D634d8c6c03e90fd4%3AT%3D1742361205%3ART%3D1742361205%3AS%3DALNI_Mbz9h5MwqVkSK_ALDYb1KtzUfAvkg&gpic=UID%3D00001069c8b03d0d%3AT%3D1742361205%3ART%3D1742361205%3AS%3DALNI_MZQSMDVvQm2brvHgAzWykANKXJugQ&eo_id_str=ID%3D0881b7906671ef9f%3AT%3D1742361205%3ART%3D1742361205%3AS%3DAA-AfjbMw8W3I4m7qFeYlW0D2erC&prev_fmts=0x0%2C430x358%2C430x358&nras=4&correlator=8050989639902&frm=20&pv=1&u_tz=480&u_his=1&u_h=932&u_w=430&u_ah=932&u_aw=430&u_cd=24&u_sd=3&adx=0&ady=5999&biw=430&bih=845&scr_x=0&scr_y=781&eid=42531706%2C95331833%2C95353421&oid=2&psts=AOrYGsnQgDSUssUEX3Y19JeQEBpJrENc0TZ0848DdIcG1uTnNvVOEFP8pPto4AfH_auNANT_KFHlrqkuWnJYXA-7_PNgpQ8%2CAOrYGslX4FgQ6xzrrka-0b1KZxGQApgZkQPHsXdCwgHxGYmbElSvFkbUIs1Le8CtEOciRWv7JekpOl1VPLodSbW49Z3xPkI&pvsid=3093014787882548&tmod=2068354682&uas=3&nvt=1&ref=http%3A%2F%2Fm.facebook.com%2F&fc=1408&brdim=0%2C0%2C0%2C0%2C430%2C0%2C430%2C845%2C430%2C845&vis=1&rsz=%7C%7Cs%7C&abl=NS&fu=128&bc=31&bz=1&ifi=4&uci=a!4&btvi=3&fsb=1&dtd=10605
“Ini adalah penting sebab kami menguruskan punca rezeki orang. Kami sedar karya dan bakat adalah harta serta sumber rezeki. Jadi, kami perlu bertanggungjawab atas harta dan sumber rezeki dapat memberikan pulangan kepada pemiliknya, bukan hanya di sepanjang tempoh aktif, namun selagi karya diguna pakai oleh pengguna.
“Isu ini sudah berlarutan sekian lama, kasihan kepada pengkarya, Jadi, kami perlu memastikan tadbir urus lebih baik dalam menjaga kepentingan setiap pengguna,” katanya.-BH Online