Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah atas pemergian lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) yang maut dalam serangan udara di Gaza.

Beliau yang berdukacita dengan insiden kejam itu menyifatkan pemergian mereka sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada MAPIM, tetapi kepada seluruh umat yang memperjuangkan keadilan dan kemanusiaan.

“Mereka ialah wira kemanusiaan yang berjuang tanpa mengenal lelah demi membantu saudara-saudara kita yang tertindas.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya serangan tidak berperikemanusiaan ini dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk tidak berdiam diri terhadap kekejaman yang berterusan di bumi Gaza,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid turut mengajak umat Islam dan rakyat Malaysia berdoa, bersolidariti dan menyokong perjuangan rakyat Palestin dalam apa jua cara yang termampu.

“Semoga roh syuhada ini dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan lapan petugas warga Palestin itu syahid dalam serangan pada jam 1.30 tengah hari (waktu tempatan) di Beit Lahiya, utara Gaza, Sabtu lalu.

Serangan udara itu berlaku ketika petugas berkenaan sedang mendirikan khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan berterusan rejim Zionis.

Mereka yang terkorban ialah Mahmoud Yahya Al-Sarraj, Bilal Hossam Oqeila, Mahmoud Samir Oselim, Mahmoud Khaled Oselim, Mohammed Al-Ghafeer, Hazem Ghareeb, Bilal Abu Matar dan Ahmad Hamad. – BERNAMA