Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yakin sekarang adalah waktu tepat untuk pelumba trek lelaki negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyinar dan menjadi harapan utama sekali gus memburu kejuaraan dalam setiap pertandingan yang disertai.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, beliau amat yakin Shah Firdaus mampu menggalas tanggungjawab besar itu untuk menggantikan tempat Datuk Azizulhasni Awang kerana dirinya sudah membuktikan ketika Sukan Olimpik Paris 2024.
“Memang sudah sampai masa untuk Shah Firdaus. Semasa di Paris 2024, kita nampak bila Shah Firdaus diperlukan (acara keirin) untuk menerima mandat itu daripada Malaysia, dia mampu dan boleh melakukannya (layak ke final).
“Saya cukup gembira untuk melihat Shah Firdaus ketika ini berada di prestasi terbaiknya. Saya yakin Shah Firdaus akan menjadi harapan untuk Malaysia bagi acara berbasikal trek,” katanya selepas merasmikan Forum ADR Sukan ASEAN 2025, di Asian International Arbitration Centre (AIAC) hari ini.
Turut hadir sama pada majlis berkenaan adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, Pesuruhjaya Sukan (PJS), Suhardi Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif AIAC, Datuk Almalena Sharmila Johan.
Selain itu, Hannah turut memaklumkan dirinya amat berbangga dengan kejayaan Shah Firdaus selepas memenangi pingat emas dalam acara keirin Piala Negara-Negara UCI di Konya, Turkiye, semalam selain berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan ditunjukkan oleh pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
“Saya nak ucapkan tahniah kepada Shah Firdaus. Saya gembira kerana semasa di Paris 2024, saya nampak betapa sukar dirinya untuk menerima keputusan (kekalahan) kerana kita lihat memang dia bangkit dan berusaha dan berlatih dengan rajin.
“Saya bersama KBS dan Majlis Sukan Negara, kami semua tumpang gembira kerana melihat Shah Firdaus dapat pingat emas. Akhirnya, beliau naik podium dan buat Malaysia bangga.
“Jadi, saya nak memberi galakan kepada Shah Firdaus dan Izzah Izzati untuk terus berusaha kerana jurulatih, John Beasley memang memberikan laporan yang cukup positif untuk potensi mereka dan kedua-dua atlet yang sekarang menerima manfaat daripada jawatankuasa Road to Gold,” katanya.-MyMetro Online