Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BERA: Kerajaan Pahang mengambil inisiatif terkini dengan memperkenalkan baucar bagi pembelian barangan makanan dan keperluan di beberapa pasar raya terpilih dalam usaha membantu golongan memerlukan.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata baucar bernilai RM50 itu akan diserahkan kepada pemimpin setempat untuk diagihkan kepada penerima yang sudah dikenal pasti, dan boleh digunakan di Pasar raya TMG serta Pasar raya Darul Makmur di seluruh Pahang.

“Baucar ini adalah satu perkara yang boleh membantu rakyat. Tiada peruntukan khusus ditetapkan untuk baucar itu buat masa ini kerana ia masih dalam tempoh percubaan.

“Kita akan tengok dulu sambutan rakyat terhadap inisiatif ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Moh Karnival Makmur 2025 peringkat Bera di Dewan Semai Bakti FELDA Sebertak dekat Kemayan di sini semalam.

Wan Rosdy berkata, baucar berkenaan hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan dan tidak boleh ditukar kepada wang tunai sekali gus mengoptimumkan bantuan yang ingin disalurkan.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri meneruskan program pemberian baucar minyak bernilai RM50 kepada 5,000 anak rantau dengan peruntukan sebanyak RM250,000 tahun ini.

“Program ini kita mulakan tahun lalu. Kali ini, kita menyediakan 5,000 baucar untuk anak Pahang yang ingin pulang beraya di kampung sebagai tanda ingatan kerajaan negeri kepada anak Pahang di perantauan,” katanya.

Program Moh Karnizal Makmur kali ini digabungkan dengan penganjuran Karnival Tanah Pahang, bagi membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan dan perkhidmatan berkaitan tanah secara terus. – BERNAMA