Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

LABUAN: Masalah banjir berpanjangan di Kampung Gersik dan kawasan sekitarnya termasuk pusat bandar, dijangka berakhir apabila projek tebatan banjir bernilai RM7.9 juta di Sungai Gersik siap pada Ogos depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata inisiatif itu mencerminkan komitmen kerajaan menjaga kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat dengan memastikan infrastruktur penting tersedia bagi melindungi masyarakat daripada kesan banjir.

“Kerajaan terus komited menangani cabaran berkaitan banjir, terutama di kawasan pesisir seperti Labuan di mana perubahan pasang surut memberi kesan besar terhadap paras air,” katanya kepada Bernama selepas taklimat projek itu di tapak Sungai Gersik, di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek berkenaan amat penting kerana akan dapat membantu mengawal kemasukan air laut ketika air pasang, sekali gus mengelak banjir kilat yang sering menjejaskan penduduk serta perniagaan di kawasan terbabit.

“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan daya tahan Labuan terhadap banjir.

“Kami mahu memastikan komuniti dilindungi dan perniagaan dapat beroperasi tanpa gangguan berterusan akibat banjir,” katanya.-BH Online