Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan menetapkan syarat baharu supaya 70 peratus kemasukan ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan sekolah berasrama penuh (SBP) Tingkatan Empat mulai tahun depan mesti daripada aliran pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sungguhpun akan wujud bantahan daripada ibu bapa, pelaksanaan syarat itu perlu dilaksanakan.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat memandangkan minat pelajar khususnya pelajar Melayu terhadap STEM semakin merosot, tidak seiring dengan dasar baharu negara yang memfokus disiplin teknologi baharu.

“Mulai tahun depan, MRSM, sekolah berasrama penuh, 70 peratus (kemasukan) mesti daripada aliran STEM,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Wakaf MARA sempena sambutan Hari MARA ke-59 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kemerosotan minat pelajar Melayu dalam STEM membimbangkan dan usaha segera perlu dilakukan untuk menarik minat mereka ke dalam aliran berkenaan.

“Minat Melayu dalam STEM merosot, (tetapi) ekonomi melonjak, kecerdasan buatan (AI) menjadi dasar utama, pusat data bercambah dalam negara, minat pelabur juga sangat membanggakan.

“Jadi saya sudah arahkan mulai tahun ini diberi tumpuan di semua MRSM, sekolah menengah sains, sekolah menengah berasrama penuh, sekolah menengah agama, tanpa terkecuali ambil langkah segera untuk memberikan tekanan supaya ada minat yang bertambah anak kita masuk ke STEM,” katanya.

Beliau menzahirkan rasa kesal, ketika tumpuan harus diberi kepada bidang teknologi masa depan, pemikiran sebahagian masyarakat hari ini masih terbelit dan dibelenggu dengan isu lama.

“Kita umumnya masyarakat Melayu Bumiputera dalam pertempuran idea persaingan yang sengit kerana kita masih belum dapat mengajak seluruh masyarakat Melayu Islam fokus tentang apa yang akan menjamin masa depan kita.

“Kita masih terbelit dengan isu lama, isu yang menakutkan bangsa, isu kaum, yang mengheret kita berdebat tanpa penyelesaian. Kita membicarakan soal agama yang tidak membantu mengangkat harakat Muslim. 

“Apa saja disiplin teknologi baru baik oleh Microsoft, Google, Infineon, Nvidia dan terakhir Arm (Limited), soalnya di mana meletak keutamaan kita jaminan masa depan Melayu,” katanya.

Justeru, beliau menggesa, kementerian dan agensi termasuk MARA, menggembleng tenaga dan usaha untuk melakukan anjakan besar terhadap cara kerja dan bertindak. 

“Untuk membawa satu kumpulan generasi saf baru yang ada kesedaran yang boleh memulihkan nasib bangsa. Supaya (mereka) tidak boleh luntur, tidak boleh (sentiasa berasa) selesa, tidak boleh anggap kita sudah capai, belum mampu kita capai kalau kita tak melonjak cara agresif dan radikal. Anjakannya mesti dari sekarang,” katanya.-BH Online