Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 13 Mac- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meneruskan komitmennya dalam membantu golongan asnaf dengan menyalurkan sumbangan berjumlah RM1.85 juta kepada 14 hospital dan pusat perubatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sumbangan itu bertujuan membantu pesakit kurang berkemampuan bagi menampung kos rawatan dan perubatan, selain menghargai usaha para petugas kesihatan yang berkhidmat dengan penuh dedikasi.

MAIWP turut memperuntukkan RM200,000 bagi menyediakan makanan berbuka puasa kepada 10,000 petugas barisan hadapan sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan golongan itu dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat.

“Ini adalah komitmen daripada MAIWP untuk menzahirkan rasa penghargaan kepada pusat-pusat perubatan dan hospital ini yang memberikan sumbangan dan bantuan rawatan kepada pesakit-pesakit di hospital dan tempat perubatan masing-masing.

“MAIWP mengambil inisiatif ini dan alhamdulillah mengadakan program pada hari ini dan selain daripada itu, kita beri juga sumbangan sebanyak RM200,000 untuk penyediaan makanan kepada warga kerja, pusat-pusat perubatan dan juga pihak hospital”, katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Sumbangan Rahmah MADANI MAIWP yang berlangsung di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Tunku Azizah. 

Salah seorang penerima bantuan MAIWP Norasiah Aman menyatakan kesyukuran atas bantuan yang diberikan.

“Anak saya dapat bantuan dari MAIWP dari segi botox kaki dan juga kasut khas untuk anak saya. 

Biasanya kita dapat rawatan daripada doktor-doktor pakar. Jadi daripada doktor-doktor pakar ini, yang akan uruskan setiap rawatan-rawatan anak saya dan juga bantuan-bantuan yang diperlukan”, katanya.

Dalam program yang sama, MAIWP juga menyerahkan sebuah bas coaster kepada Hospital Kuala Lumpur (HKL) bernilai RM229,000 bagi kegunaan pergerakan pesakit dan waris untuk membuat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.-Berita RTM