KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tidak timbul sebarang isu UMNO akan tergugat susulan siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presiden UMNO itu berkata, kepemimpinan dan ahli parti menganggap kes berkenaan sebagai kes peribadi yang dihadapi Perdana Menteri Kesembilan itu dan tiada kaitan dengan parti.
“Ia tiada kaitan dengan kita secara rasmi, kita berpendirian UMNO tidak pernah terbabit dengan wang dan jongkong emas yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).null
“Ia tiada kaitan langsung untuk dana politik atau kutipan yang dibuat UMNO.
“Dalam hal ini, kita serahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan dan dari segi perundangan sekali pun, terserah pada SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata, Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah ‘safehouse’ hasil serbuan dilakukan pihaknya.null
SPRM, sebelum itu menyita wang tunai berkenaan dalam bentuk pelbagai mata wang antarabangsa,
antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan serta 16 kilogram (kg) jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Ismail Sabri dijangka memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, esok.
Beliau sepatutnya hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM pada Jumaat lalu, namun tidak berbuat demikian kerana dikatakan masih tidak cergas.-BH Online