PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tiada menerima sebarang maklumat menyatakan pelajar Malaysia terjejas dalam insiden letupan bom di Pekan Sungai Golok, selatan Thailand, pada 8 Mac lalu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata KPT mengikuti secara dekat kejadian itu.
“Hingga kini, tiada sebarang maklumat berkaitan sama ada pelajar kita (terjejas) dari segi kecederaan atau mangsa yang terlibat (itu) daripada pelajar kita ataupun tidak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Warga KPT, di sini, malam ini.
Zambry berkata, kebanyakan pelajar Malaysia belajar secara persendirian dalam bidang agama dan sebagainya di selatan Thailand.
Media sebelum ini melaporkan dua sukarelawan polis maut, manakala lapan lagi cedera dalam serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok, Sabtu lalu.
Kejadian berlaku kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah selatan Thailand itu berbuka puasa.
Susulan itu, Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke Yala, Narathiwat dan Pattani buat masa ini.
Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, empat pelajar Malaysia yang cedera dalam kemalangan jalan raya di Jordan pada 8 Mac lalu dilaporkan stabil, manakala seorang lagi dalam pengawasan pihak hospital.
“Saya mendapat maklum balas setiap hari dan saya mengarahkan pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) supaya menyediakan laporan itu kepada saya setiap hari,” katanya.
Ditanya sama ada pelajar berkenaan akan balik ke Malaysia pula, beliau berkata, KPT belum mendapat maklumat kerana doktor masih membuat pemantauan terhadap mereka.
Sebelum ini, media melaporkan empat pelajar Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Mu’tah, Jordan, cedera selepas terbabit nahas jalan raya di negara itu.
Dua daripada pelajar itu berasal dari Johor, manakala dua lagi masing-masing dari Selangor dan Kuala Lumpur.
Sementara itu pada majlis hari ini, Zambry turut menyampaikan sumbangan raya kepada 98 pembantu khidmat am terdiri daripada warga pengurusan ibu pejabat, Jabatan Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, serta Akademi Kepimpinan Tinggi (AKEPT).-BH Online