JERANTUT: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengingatkan pemimpin agar berhenti menjadi ‘badut’ yang mempolemikkan isu raja, agama dan kaum (3R) sehingga mencetuskan pertelingkahan dalam masyarakat.
Baginda bertitah, semua kepimpinan khususnya politik harus menjadi jambatan perpaduan yang menyatukan rakyat, bukan pencetus api yang membakar hubungan harmoni sudah lama terbina.
“Biarkanlah ‘pentas’ ini terus tenang tanpa drama menyakitkan dan ‘berdialoglah’ menggunakan akal serta hati, bukan ‘bermonolog’ menggunakan nista dan benci.
“Saya juga ingin mengingatkan kepada semua rakyat, baik Muslim mahupun bukan Muslim, bahawa keharmonian yang kita kecapi ini adalah hasil sikap saling menghormati serta toleransi,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Baharu Kampung Durian Hijau, di sini, hari ini.
Baginda turut mengingatkan supaya jangan cepat melatah dan membuat spekulasi, hormat-menghormati satu sama lain, serta menjaga sensitiviti antara agama dan kepercayaan.
“Sesungguhnya, dalam mendukung kemuliaan agama yang suci, kita bertanggungjawab memastikan setiap jiwa yang bernaung di bumi bertuah ini mendapat hak yang sewajarnya agar tanah ini terus subur dengan kemakmuran serta bernafas dalam ketenangan.
“Jangan sesekali kita membiarkan kejahilan dan keangkuhan merosakkan apa yang telah kita bina bersama,” titah baginda.
Pada majlis hari ini, Al-Sultan Abdullah berkenan memasyhurkan Masjid Kampung Durian Hijau dengan nama Masjid Abdulrahman Ibn Auf, Kampung Durian Hijau.
Baginda sekali gus berpesan bahawa berdirinya sebuah masjid bukan sekadar binaan untuk bermegah, tetapi adalah lambang ketakwaan, persaudaraan serta kecintaan umat Islam kepada Allah SWT dan Rasul.
“Masjid inilah tempat di mana hati-hati yang beriman berkumpul, bersujud dan bermunajat untuk mencari rahmat serta hidayah-Nya.
“Selain itu, menyingkap jejak Abdulrahman Ibn Auf menyuburkan budaya memberi, menghulur tangan kepada yang memerlukan dan menjadikan kemewahan sebagai penyuluh jalan kebajikan, bukan sekadar membina harta tetapi membina ummah,” titah baginda.
✅
Anwar terima kunjungan hormat Duta Besar AS ke Malaysia
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat oleh Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D Kagan, di Putrajaya, petang tadi.
Dalam hantaran melalui Facebook, Perdana Menteri memaklumkan pada pertemuan itu, mereka membincangkan hubungan dua hala yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Ia antara lain memfokus kerjasama dalam bidang ekonomi dan teknologi yang menjadi kepentingan bersama, serta pensijilan halal.
“Perbincangan turut menyentuh soal Kepengerusian ASEAN 2025, terutama terkait Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS,” katanya.
Selain itu, Anwar mengundang Presiden AS, Donald Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.
Untuk rekod, Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN, tahun ini.-BH Online