Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) serta pihak berkepentingan sedang bekerjasama untuk menyegerakan pelaksanaan penyelesaian jangka panjang bagi mengawal inflasi kos perubatan dengan berkesan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pihak berkepentingan itu termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan, hospital swasta dan penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO).

Menurutnya, BNM sebelum ini telah mengumumkan langkah interim bagi mengekang impak kenaikan premium dan sumbangan insurans takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) kepada pemegang polisi.

Amir Hamzah berkata menerusi langkah interim itu, 80 peratus pemegang polisi dijangka menghadapi pelarasan premium atau sumbangan tahunan kurang daripada 10 peratus yang disebabkan oleh inflasi tuntutan perubatan.

“Sebahagian besar kos pelaksanaan langkah interim di atas ditanggung oleh pihak ITO dengan menggunakan sumber keuntungan dan rizab yang terkumpul.

“Berdasarkan anggaran awal, impak kepada keuntungan industri dari langkah interim ini dianggarkan berjumlah RM2.6 bilion sepanjang dua tahun akan datang,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Titah Diraja di Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, peningkatan berterusan inflasi kos perubatan merupakan punca utama menyebabkan kadar tuntutan MHIT semakin meningkat.

“Perlu ditekankan langkah interim ini hanya dapat memberi sokongan sementara kepada pemegang polisi. Namun, isu pokok permasalahan ini masih terletak pada peningkatan inflasi kos perubatan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kerajaan melalui KKM mengutamakan reformasi kesihatan yang menyeluruh dalam menangani isu inflasi kos perubatan dan caj di hospital swasta untuk membendung kadar inflasi kos perubatan.

Antara lain, usaha itu akan merangkumi teras seperti pelaksanaan model pembayaran berdasarkan Diagnostic Related Group (DRG); transformasi reka bentuk produk MHIT; meluaskan pilihan kesihatan mampu milik; dan pelaksanaan rekod kesihatan elektronik, tambah beliau. – BERNAMA