CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mampu memperoleh kutipan hasil cukai yang lebih baik jika mereka mengekalkan semua standard dan disiplin dilaksanakan ketika ini.
Perdana Menteri berkata, beliau berbangga dengan prestasi LHDN dalam tempoh beberapa tahun lalu, terutama pada tahun lalu yang berjaya mencapai kutipan cukai langsung berjumlah RM184.8 bilion, peningkatan sebanyak RM1.46 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Saya fikir, ia (sistem yang dilaksanakan) lebih terurus, berstruktur dan instrumen baharu yang diperkenalkan seperti e-invous akan membantu (kutipan cukai yang lebih baik),” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-29 di Menara Hasil di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LHDN, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Sementara itu, dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata, kejayaan LHDN memperoleh kutipan memberangsangkan itu adalah bukti hasil negara akan melonjak jika tatakelola dan ruang yang boleh menyumbang kepada kebocoran hasil sentiasa diperbaiki.
“Apa makna ini semua? Kita tidak beri ruang kepada mana-mana pihak, terutama peringkat atasan, golongan mahakaya terlepas daripada tanggungjawab mereka sebagai rakyat dan warganegara.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada LHDN kerana ini mungkin julung kali tokoh korporat tanpa kecuali, semuanya memenuhi tanggungjawab mereka membayar hasil.
“Saya dan menteri memberi sokongan kuat sehingga tidak ada yang berani merayu kepada saya. Jadi, ini menunjukkan integriti yang ada pada LHDN,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak pernah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan LHDN ‘memilih dulu’ kepada mana-mana pihak dalam pembayaran cukai.
“Saya tidak pernah menyatakan kepada Datuk Tariq untuk kurang memberi tekanan dalam melaksanakan tugas. Umpamanya jika pergi kepada Tun dan Tan Sri, mahakaya, mereka akan terus menghubungi golongan atasan dan orang yang menunaikan tanggungjawab (mengutip cukai) itu mendapat tekanan.
“Selalunya, penguat kuasa termasuk pengurusan tentu tidak ada keberanian jika mereka tahu, tanggungjawab disempurnakan itu tidak mendapat dukungan oleh pimpinan,” katanya.
Anwar turut membidas tindakan sesetengah ahli politik yang mempertahankan golongan kaya dalam isu cukai, namun pada masa sama, mengaku mempertahan golongan miskin.
“Saya rasa aneh. Kalau dalam ucapan, kita ini golongan yang pertahankan miskin tetapi apabila cukai…
“Kalau nak tolong, dari mana hasil itu, bukannya turun dari langit tetapi kutipan hasil,” katanya.-BH Online