Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yakin dengan kepimpinan Datuk Ahmad Shapawi Ismail untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengerusi baharu Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Beliau berkata, pengalaman luas bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu dalam pengurusan sukan dapat membantu membela kebajikan bekas atlet negara selain memastikan mereka mendapat sokongan sewajarnya.

“Saya memilih beliau kerana mempunyai pengetahuan luas mengenai atlet di Malaysia. Saya juga telah melantik beberapa bekas atlet (sebagai Ahli Lembaga Pengarah YAKEB) supaya mereka dapat membantu beliau,” katanya selepas merasmikan Stadium Pickleball di Kenanga Wholesale City Fashion Mall di sini hari ini.

Hannah seterusnya melahirkan keyakinan terhadap kepimpinan baharu YAKEB dan beliau pasti mereka akan meneruskan langkah baik yang dilaksanakan Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed selaku pengerusi sebelum ini.

Shapawi menggantikan Noorul Ariffin bermula Ahad, dan beliau dibantu Ahli Lembaga Pengarah YAKEB bagi penggal 2025-2027 yang terdiri daripada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Kewangan Hafiz Mat Ramly, Chan Hong Jin (Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Belia dan Sukan serta Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim (Pengarah Institut Sukan Negara). 

Ahli lembaga pengarah lain ialah Normala Abdul Rashid (bekas pemain bola sepak negara/Presiden Kelab Sukan dan Amal Srikandi), Sharon Wee Ee Li (bekas atlet skuasy negara/Naib Presiden 1 Persatuan Raket Skuasy Malaysia), R. Sharmendran (bekas atlet karate negara/Ketua Jurulatih Sementara Skuad Karate Kebangsaan) dan bekas pemain badminton negara Soo Beng Kiang.-BERNAMA