Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kota Bharu: Kementerian Pendidikan (KPM) mengingatkan pelajar Malaysia yang menetap di Golok, Thailand supaya tinggal di asrama, selain sentiasa mengutamakan aspek keselamatan.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, ia susulan kejadian letupan dan tembakan yang berlaku di sempadan hingga mengorbankan dua orang, malam tadi.

“Soal keselamatan sentiasa menjadi keutamaan kita dan kita bekerjasama dengan polis bagi mendapatkan maklumat.

“Susulan insiden letupan dan tembakan yang berlaku malam tadi, kita sebenarnya sudah mengambil langkah awal kerana kebanyakan pelajar sudah berada di dua asrama di sekolah di Rantau Panjang, selain ada yang tinggal bersama saudara mara di sini.

“Saya juga yakin JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) sudah mengambil langkah susulan dan kita berharap mereka yang tinggal di asrama supaya terus berada dalam premis bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

“Pada masa sama, ia memudahkan untuk kita membuat pemantauan. Saya juga meminta ibu bapa berbincang dengan JPN sekiranya ada di kalangan mereka mahu tinggal di asrama kerana keadaan sekarang tidak selamat untuk rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Jaulah Ramadan KPM di Sekolah Menengah Agama Naim Lilbanat, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut memaklumkan pihaknya sedang mengkaji murid sekolah rendah yang tinggal di Golok untuk ditempatkan di asrama sekolah di Rantau Panjang.

Bagaimanapun katanya, ia masih di peringkat kajian dan pihaknya akan membincangkan perkara itu secara terperinci.

Terdahulu media melaporkan, dua sukarelawan pertahanan maut manakala lapan lagi cedera dalam kejadian serangan bersenjata dan letupan bom di hadapan Pejabat Daerah Sungai Golok, malam tadi.

Serangan berlaku kira-kira jam 7.10 malam waktu tempatan (8.20 malam waktu Malaysia), kira-kira sejam selepas umat Islam di wilayah itu berbuka puasa.

Jurucakap polis Sungai Golok berkata insiden berlaku di sepanjang jalan Sungai Golok-Sungai Padi, berhampiran pasar raya Big C yang sering dikunjungi rakyat Malaysia.-Harian Metro Online