Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Dasar Wanita Negara 2025-2030 yang dilancarkan hari ini, bertujuan memperhalusi dan menambah baik dasar sedia ada serta memperkukuh lagi langkah penguatkuasaan terhadap pelaku keganasan rumah tangga.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata dasar baharu itu juga bertujuan mengisi kekurangan atau ‘loophole’ yang ada dalam pelaksanaan dasar-dasar sebelum ini, dengan penekanan lebih terhadap aspek perlindungan wanita, terutama dalam konteks keganasan rumah tangga.

“Paling penting, kementerian ingin membantu wanita terutama mereka yang terkesan oleh keganasan ini kerana kes berkenaan meningkat dari semasa ke semasa.

“Dari segi hukuman itu perlu ditegaskan lagi… kita tidak mahu sebut saja, tetapi perlu ada pelaksanaan dari segi hukuman dan tindakan yang perlu diambil kepada mereka yang melakukan (keganasan rumah tangga),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 di sini hari ini.

Majllis perasmian sambutan berkenaan yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian turut melancarkan Dasar Wanita Negara 2025-2030.

Untuk tujuan memperkukuh tindakan penguatkuasaan, Nancy berkata, kementeriannya juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sementara itu, menyentuh mengenai Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 bertemakan “Wanita Beraspirasi, Membina Legasi” itu, Nancy berkata, buat julung kalinya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melaksanakan aktiviti prasambutan di peringkat zon bagi memastikan penglibatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.

Beliau berkata, prasambutan itu dilaksanakan secara berperingkat melibatkan Zon Borneo pada 11 Feb lepas, diikuti Zon Timur (18 Feb), Zon Selatan (24 Feb), Zon Tengah (25 Feb) dan diakhiri Zon Utara (26 Feb), dengan anggaran sebanyak 500 hingga 1,000 peserta terbabit dalam setiap sambutan pada peringkat zon.null

“Aktiviti utama yang dianjurkan termasuk kempen kesedaran dan advokasi, forum serta sesi dialog bersama-sama pemimpin wanita dan pakar dalam pelbagai bidang, serta diskusi berkaitan aspek kepimpinan, ekonomi dan kesejahteraan wanita,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Kasih Wanita kepada empat individu mengikut kategori berdasarkan sumbangan serta jasa mereka terhadap masyarakat.

Penerima Anugerah Kasih Wanita Bakti diberikan kepada Pengasas Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed manakala bekas pesakit skizofrenia, Nor Kamariah Mohd Khalid Lourdes Lid pula menerima Anugerah Kasih Wanita Cekal.

Anugerah Kasih Wanita Harmoni diberikan kepada bekas anggota polis Jennifer Atok dan Anugerah Kasih Wanita Komuniti diterima guru Orang Asli Amira Yoke Bes. – BERNAMA