Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

CHUKAI: Kementerian Perpaduan Negara akan memperluas peranan Mediator Komuniti dan menambah Pusat Mediasi Komuniti (PMK) bagi menyelesaikan konflik dalam kawasan kejiranan termasuk soal keselamatan dan perpaduan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata skop perkhidmatan mediasi yang dikendalikan oleh Mediator Komuniti dikendalikan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) berkaitan isu dalam komuniti seperti gangguan bunyi bising, pergaduhan antara jiran, isu kekeluargaan dan isu alam sekitar.

Beliau berkata, kementerian itu juga bercadang menubuhkan lima lagi PMK tahun ini, menjadikan 13 PMK keseluruhan dengan lapan pusat itu sudah diwujudkan sebelum ini.

Beliau berkata, lima PMK yang akan ditubuhkan ialah membabitkan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Daerah Tuaran Sabah, Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Perumahan Rakyat Seri Kota Kuala Lumpur.

“Dua lagi pusat terbabit akan ditubuhkan di Pusat Aktiviti Perpaduan (PAP) di Kemaman, Pejabat Perpaduan daerah Pontian Johor.

“PMK yang akan terus berperanan sebagai platform bukan perundangan (Litigasi) untuk membantu komuniti dalam menyelesaikan pertikaian dan konflik yang berbangkit di peringkat akar umbi.

“Kementerian berhasrat untuk memastikan perkhidmatan mediasi secara percuma yang disediakan kepada rakyat ini dapat dimanfaat dan diakses dengan lebih mudah melalui penubuhan dan perluasan Pusat Mediasi Komuniti,” katanya selepas merasmikan Program Gerak Rahmah Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2025 di Kemaman, hari ini.

Aaron berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 215 kes mediasi direkod dan dikendalikan Mediator Komuniti secara proaktif di bawah penyeliaan JPNIN.

Sementara itu beliau berkata peranan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dalam mendepani isu dalam komuniti termasuk soal keselamatan dan perpaduan juga amat penting. 

“Saya melihat kalau ada KRT ini, jarang ada masalah yang besar-besar. Mungkin ada (masalah besar) tetapi sedikit dan dapat ditangani dengan adanya ahli yang jalankan tugas untuk meredakan masalah,” katanya.-BH Online