Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANDAR BARU BANGI: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan amaran supaya mana-mana pihak, terutama parti-parti politik di negara ini, tidak ‘menunggang’ isu agama dan kaum untuk kepentingan peribadi.

Perdana Menteri menegaskan, perbuatan itu akhirnya akan memusnahkan keharmonian antara kaum dan rakyat.

Beliau sekali gus mengingatkan bahawa isu agama tidak boleh dijadikan senjata politik kerana tindakan sedemikian seperti membakar diri sendiri.

“Di bulan Ramadan dan hari Jumaat yang mulia ini, kita mahu memberi pandangan serta nasihat kepada rakyat agar tidak melanggar jalur, peraturan dan hukum (berhubung isu kaum serta agama).

“Terutama pimpinan mana-mana parti atau masyarakat, jangan menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi kerana jika diteruskan, ia akan membakar dan memusnahkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Teras Jernang, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan bertindak tegas terhadap tindakan menghina dan merendahkan darjat manusia serta agama.

“Tindakan itu tidak dibolehkan, apatah lagi dalam negara yang pelbagai kaum dan agama.

“Islam adalah agama Persekutuan yang kita martabatkan dan keharmonian perlu dijaga.

“Jangan gunakan (isu agama dan kaum) sebagai senjata politik kerana ia akan membakar diri,” katanya.

Hari ini, BH melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang mencetuskan suasana tegang dan tidak harmoni dalam negara dengan meniup sentimen perkauman serta keagamaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dipetik berkata PDRM memandang serius isu 3R (kaum, agama dan raja) yang dimainkan sesetengah pihak, terutama berikutan perkembangan ketika ini.

Justeru, beliau berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas dengan menggunakan segala undang-undang sedia ada tanpa mengira siapa yang terbabit dalam memainkan isu 3R.

Semalam, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, dilaporkan berkata tuduhan serta persepsi kononnya kerajaan berdiamapabila agama Islam dihina, adalah fitnah dan tidak berasas.

Tunku Nashrul dipetik menegaskan, sesiapapun yang menghina mana-mana agama di Malaysia, akan tetap disiasat dan didakwa.-BH Online