Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui TalentCorp akan meneruskan program MyMahir Future Skills Talent Council (FSTC) dengan sasaran 15,000 individu akan melengkapkan latihan berdasarkan permintaan industri tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata usaha itu bagi memastikan bekalan bakat yang mampu memenuhi keperluan industri yang terus berkembang.

“Program berkenaan diperkenalkan berasaskan kepada sektor industri dan dianggotai oleh industri bertujuan untuk memastikan tenaga bakat negara memiliki kemahiran dan kompetensi yang diperlukan industri serta menepati keperluan sektor ekonomi utama negara termasuk dalam bidang digital dan teknologi hijau.null

“Pada 2024, TalentCorp menaja 401 individu untuk menyertai 21 program latihan di bawah MyMahir FSTC Elektrik dan Elektronik (E&E) bagi melengkapkan mereka dengan kemahiran teknikal yang diperlukan oleh industri.

“Hasilnya, semua peserta yang sudah melengkapkan program latihan berjaya mendapat penempatan pekerjaan dengan syarikat berkaitan, dengan purata peningkatan gaji lima hingga 15 peratus berbanding gaji purata industri,” katanya melalui jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tangjong Karang) mengenai program dirancang kementerian bagi melatih tenaga kerja tempatan dalam bidang digital dan teknologi hijau.

Mengulas lanjut, Sim berkata, TalentCorp sudah melaksanakan Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digitalisasi dan Ekonomi Hijau ke atas Tenaga Kerja Malaysia. 

“Kajian itu sudah dimulakan secara berperingkat untuk mengenal pasti tahap impak ketiga-tiga domain terbabit ke atas pekerjaan dan seterusnya membangunkan Kerangka Kemahiran Masa Hadapan untuk membantu tenaga bakat dalam mengenalpasti peluang kerjaya.

“Ia juga bagi keperluan untuk kemahiran baharu, peningkatan kemahiran dan kemahiran semula selari dengan adaptasi AI, digitalisasi dan ekonomi hijau,” katanya.-BH Online