Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

IPOH: Kerajaan Perak hari ini mengumumkan ‘bonus raya’ dengan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Raya (BKK Raya) RM1,500 kepada semua 13,582 penjawat awam negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata BKK itu akan diberikan termasuk kepada guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan (OBJ) serta pekerja sambilan harian.

Bantuan yang akan dibayar pada 24 Mac itu membabitkan RM10 juta implikasi kewangan kepada kerajaan negeri.null

Kata Saarani, kenaikan kadar BKK itu antaranya didorong oleh amalan berjimat kerajaan negeri selain didorong pertambahan hasil negeri termasuk menerusi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), kestabilan politik, serta kemasukan pelabur.

“Kita berterima kasih kepada pasukan Timbalan Pegawai Kewangan Negeri yang pandai menjimatkan duit yang akhirnya apabila saya sembang apa yang patut kita beri (BKK Raya) adalah RM1,500.

“Jadi semua ini adalah rahmat dan rezeki dari Allah SWT kepada kita, yang ada sumber mineral. Dan nikmat Allah itu juga datang dalam bentuk kestabilan politik.

“Maka, kita tengok pelabur-pelabur pun sudah berminat dan mula datang ke negeri Perak untuk mengembangkan pelaburan mereka,” katanya ketika mengumumkan BKK itu sewaktu berucap di hadapan kira-kira 1,000 hadirin sempena Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar bersama penjawat awam negeri Perak di Laman Seri Ridzuan, di sini malam ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; dan Penasihat Undang-Undang negeri, Datuk Azmir Shah Zainal Abidin.

Untuk rekod, jumlah BKK Raya kali ini menunjukkan peningkatan berbanding RM1,000 sempena Aidilfitri tahun lalu, yang mana tahun lalu seramai 995 ketua kampung di negeri ini turut menikmati BKK Raya.-BH Online