Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LANGAT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak menolak kemungkinan kegiatan pemprosesan bahan sisa elektronik (e-waste) di negara ini didalangi sindiket jenayah terancang.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa aktiviti pemprosesan e-waste haram ini mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah. 

“Sebab itu, polis sedang menyiasat kemungkinan wujud elemen jenayah terancang atau (yang boleh mengancam) keselamatan negara. Kita serahkan kepada kepakaran pihak polis untuk menjalankan siasatan.

“Bila siasatan sudah semakin mendalam, kita mungkin akan memperoleh dapatan yang menarik, sebab itu kita tidak menolak kemungkinan elemen itu (didalangi sindiket jenayah terancang),” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang e-waste haram di Telok Panglima Garang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini selagi siasatan yang dijalankan oleh PDRM belum selesai.

Terdahulu, BH melaporkan kebanyakan kilang melupus dan memproses sisa elektronik atau e-waste dikesan dimiliki samseng yang dipercayai mempunyai rangkaian dengan sindiket pengubahan wang haram.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam temubual khas bersama BH dan media berbahasa Cina, kelmarin.

Menurutnya, pembabitan samseng itu dibongkar pihak berkuasa melalui Ops Hazard dengan ada kilang haram e-waste turut didalangi oleh warga asing.

Tambah Nik Nazmi, maklumat yang diperoleh pihaknya menunjukkan 30 premis yang diperiksa, pihak berkuasa mendapati kebanyakan pekerja adalah pendatang asing atau salah guna permit.

Selain itu katanya, ada antara kegiatan itu membabitkan rangkaian jenayah yang menggunakan kegiatan memproses e-waste sebagai satu cara untuk ‘mencuci duit’.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, taktik yang digunakan pengusaha kilang e-waste haram beroperasi dalam kawasan perindustrian jelas menyukarkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

“Premis haram ini beroperasi dalam kawasan perindustrian yang diwartakan sebagai zon industri. 

“Ini menyebabkan ia tidak menimbulkan kecurigaan sehinggalah operasi serbuan dijalankan,” katanya.

Mengenai punca kemasukan kontena mengandungi e-waste daripada luar negara, Saifuddin berkata, barangan berkenaan dipercayai masuk ke negara ini melalui kontena 40 kaki. 

“Oleh itu, pihak polis dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan menyemak punca kemasukan (kontena) di pelabuhan mana barang ini tiba.

“Selain itu, semakan dan pemeriksaan dokumen seperti manifes kargo dan senarai inventori dijalankan untuk mengenal pasti pihak yang terlibat. Kita akan maklumkan perkembangan terkini siasatan daripada semasa ke semasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan PDRM dan JAS merampas sisa e-waste seberat 22,900 tan bernilai RM2.68 bilion menerusi Ops Hazard yang dilakukan serentak terhadap 47 premis di seluruh negara pada 15 Februari lalu.-BH Online