KUALA LUMPUR: Malaysia sentiasa memastikan kedaulatan dan kepentingan negara dilindungi dalam sebarang perbincangan atau rundingan berkaitan perjanjian air dengan Singapura.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pada Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 pada 7 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong menyambut baik penubuhan kumpulan kerja teknikal antara kedua-dua negara dalam membincangkan langkah bagi melindungi kualiti air serta kemampanan hasil Sungai Johor.
“Kementerian Luar bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dan kerajaan Johor akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan negara dipelihara dalam perkara ini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.null
Beliau menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai status terkini perbincangan dengan Singapura berhubung isu bekalan air di bawah Perjanjian Air 1961 dan 1962 serta langkah diambil kerajaan bagi memastikan kepentingan negara dilindungi dalam rundingan semula perjanjian itu.
Mohamad berkata, Malaysia kekal komited untuk terus memenuhi obligasi perjanjian air itu bagi pembekalan air mentah dari Johor ke Singapura.
Pada masa sama katanya, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor akan terus memastikan pembekalan air yang mencukupi kepada rakyat Johor.
Sementara itu, menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) mengenai jaminan kerajaan bahawa perjanjian yang ditandatangani untuk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Mohamad semuanya diteliti dan diperhalusi dengan mendalam oleh agensi peneraju, iaitu Jabatan Peguam Negara (AGC), serta kementerian dan agensi berkaitan yang mempunyai kepentingan dalam setiap dokumen berkenaan.
Beliau berkata, bagi Perjanjian JS-SEZ khususnya, kerajaan Johor turut dilibat urus bagi memastikan pandangan dan kepentingan negeri itu turut diambil kira dalam setiap aspek.
“Bagi JS-SEZ, proses rundingan dijalankan secara teratur dengan membabitkan semua pemegang taruh sejak 2023.
“Kerajaan turut memastikan setiap klausa yang dipersetujui selari dengan kepentingan Malaysia,” katanya.-BH Online