KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pendidikan kecerdasan buatan (AI) diperluas ke semua universiti dan sekolah menengah bagi meningkatkan tahap penguasaan anak muda dalam bidang itu.
Perdana Menteri berkata, tahap penguasaan rakyat negara ini khususnya anak muda terhadap AI pada masa kini masih terbatas.
“Sedangkan ia (AI) akan menjadi penentu sama ada Malaysia bakal memiliki keupayaan daripada sudut peningkatan produktiviti khususnya dalam bidang baharu.
“AI ini satu pendekatan mencabar kerana walaupun ini kita jadikan dasar yang jelas, tetapi penguasaannya masih terbatas.
“Arahan kepada semua pusat pendidikan, termasuk sekolah menengah dan univerisiti memberikan tumpuan kerana saya berpendapat penguasaan AI ini akan menentukan sama ada Malaysia ada keupayaan daripada sudut peningkatan produktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, banyak pelabur besar yang masuk ketika ini melihat keupayaan dan penguasaan sumber tempatan terhadap AI sebagai keutamaan mereka.
Anwar pada Mei tahun lalu melancarkan Fakulti AI pertama di Malaysia bersempena penganjuran Pameran Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI Nexus 2024).
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi universiti pertama di negara ini menubuhkan fakulti berkenaan dan sudah menerima 97 pelajar yang mendaftar untuk mengikuti pengajian di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa, sesi akademik 2024/2025.-BH Online