Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta perundangan lain yang berkaitan akan dikaji dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ia bagi memastikan kawalan dan tindakan perundangan negara sentiasa ditambah baik.

Katanya, ini memandangkan kes keganasan rumah tangga dilaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan peningkatan kepada 7,116 kes tahun lalu, berbanding 5,507 kes pada 2023.

“Kementerian ketika ini meletakkan fokus utama pengurusan kes keganasan rumah tangga dengan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan serta pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Ia dibuat melalui penubuhan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JKRT).

“JKRT memainkan peranan menyelaras dan memantau isu serta inisiatif berkaitan keganasan rumah tangga secara holistik, meliputi inisiatif seperti analisa ke atas data kes keganasan rumah tangga, aspek advokasi, bantuan perlindungan, khidmat sokongan dan pengupayaan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) mengenai cadangan memperkenalkan sebarang pindaan undang-undang dalam meningkatkan perlindungan bagi mangsa keganasan rumah tangga.

Noraini berkata, kementerian sedang mengemas kini Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Negara bagi memastikan dasar berkenaan selari struktur keluarga ketika ini.

Beliau berkata, inisiatif itu antara lain bertujuan melihat kepada kepentingan institusi keluarga yang kukuh sebagai asas pembinaan masyarakat.

“Menjadi harapan kementerian, dengan adanya struktur keluarga utuh dengan nilai kekeluargaan positif, secara tidak langsung dapat mengurangkan kes keganasan rumah tangga daripada berlaku.

“Melalui pendekatan menyeluruh ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-society’, kementerian komited menangani kes keganasan rumah tangga kerana menerusi jaringan kerjasama dan sinergi multi-sektoral ini.

“Semua agensi dan lapisan masyarakat dapat memainkan peranan dan tanggungjawab bersama untuk memberi sokongan sosial kepada golongan yang memerlukan,” kata Ahli Parlimen Parit Sulong itu.-BH Online