Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mengawal selia caj fasiliti yang dikenakan di kemudahan penjagaan kesihatan swasta.

Menteri, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pihaknya cuma mengawal selia caj profesional mencakupi hal perundingan dan prosedur menerusi Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

“KKM menguatkuasakan Akta 586 dan Peraturan-Peraturannya sejak 1 Mei 2006 yang turut mengawal fi yang dikenakan oleh kemudahan jagaan kesihatan swasta melalui Jadual Fi (Jadual Ketujuh dan Ketiga Belas).

“Jadual Fi ini mengawal selia fi profesional (perundingan dan prosedur) dengan memperuntukkan harga siling atau had maksimum yang boleh dikenakan oleh pengamal perubatan di hospital atau klinik swasta.

“Kos rawatan di fasiliti kesihatan swasta merangkumi fi profesional pengamal perubatan dan fi fasiliti kesihatan swasta.

“Fi fasiliti yang antara lainnya terdiri daripada caj perkhidmatan kejururawatan, caj peralatan perubatan, caj alat pakai buang (jarum, picagari, kain kasa dan lain-lain) dan caj ujian makmal tidak dikawal selia oleh KKM,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai langkah kementerian untuk memastikan bayaran dikenakan oleh hospital swasta adalah sama di antara pemegang insurans dan bukan pemegang insurans, termasuk surat jaminan serta ‘pay and claim’ (bayar dan tuntut).

Pada masa sama, Dr Dzulkefly berkata pihaknya mengambil beberapa langkah untuk memastikan bayaran dikenakan hospital swasta adalah sama di antara pemegang insurans dan bukan pemegang insurans.

Beliau berkata, antaranya memastikan hospital mengadakan prosedur ketidakpuasan hati ke atas semua aduan.

“Memastikan hospital swasta serta pengamal perubatan dan pergigian swasta mematuhi fi profesional seperti yang termaktub di dalam Jadual Ketiga Belas.

“Membolehkan pesakit mendapat maklumat mengenai anggaran caj yang akan dikenakan sebelum rawatan dimulakan melalui kaunseling kewangan oleh hospital swasta,” katanya.

Dalam usaha menangani inflasi kos perubatan, Dr Dzulkefly berkata KKM sedang menjalankan beberapa pendekatan seperti memperluaskan mekanisme pembelian strategik perkhidmatan kesihatan swasta yang berkualiti secara pukal bagi mendapatkan harga berpatutan dengan penawaran jumlah pesakit yang lebih, untuk membolehkan penurunan harga.

Katanya, KKM juga menggalakkan ketelusan harga dalam sektor penjagaan kesihatan swasta sekali gus membolehkan rakyat membuat perbandingan dan membuat keputusan yang lebih tepat mengenai perkhidmatan kesihatan yang mereka perlukan.

“Memperkenalkan pilihan penjagaan kesihatan premium melalui Rakan KKM yang juga akan berperanan sebagai satu penanda aras kompetitif kepada perkhidmatan kesihatan swasta.

“Memperkenalkan kaedah pembayaran berasaskan kumpulan diagnosis (DRG) untuk mendapatkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai. Kementerian pada masa ini sedang membangunkan kerangka dan mekanisme untuk pelaksanaan pembayaran melalui kaedah DRG ini,” katanya.-BH Online