Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Tindakan mencampurkan beras tempatan dan import berlaku sejak tahun 1970-an lagi selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), bukannya baru berlaku ketika pentadbiran kerajaan sekarang. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata dapatan itu diperoleh hasil kajian dijalankan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) ke atas industri padi dan beras sejak awal 2024.

Hasil kajian itu, MyCC juga merumuskan tujuan campuran ini adalah memenuhi cita rasa pengguna tempatan serta untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran. 

“Hasil kajian berkenaan sudah dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) Bilangan 2 2024 pada 17 Disember 2024.

“Susulan Mesyuarat JKKMN dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember 2024, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarahkan supaya memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran berat putih tempatan (BPT) dan beras putih import (BPI) melalui perundangan. 

“Serta merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya. 

Mohamad berkata demikian dalam jawapan bertulis menjawab soalan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar), yang mahu tahu ke mana perginya beras tempatan untuk rakyat sedangkan keluasan sawah negara adalah lebih 644,854 hektar dan mengeluarkan lebih daripada 2.4 juta tan metrik padi semusim. 

Mengulas lanjut beliau berkata, mekanisme bagi mengawal campuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras.

Media bulan lalu melaporkan, kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) disahkan bercampur dengan BPT

Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi MARDI, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak, berkata kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024. 

Tiada peruntukan khusus perundangan kes campur beras

Mohamad berkata, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras. 

Justeru kata beliau, pada 13 Februari lalu, dua langkah diumumkan kerajaan sebagai usaha awal memastikan keseimbangan dalam industri iaitu menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik berkuat kuasa 16 Februari 2025. 

“Penyelarasan ini dilaksanakan dengan mengambil kira kenaikan kos pengeluaran padi merangkumi kos upah dan kos input pertanian seperti baja, racun dan lain-lain serta impak kepada kos pengeluaran beras dan seterusnya memberi kesan kepada bekalan dan harga beras di pasaran,” katanya. 

Selain itu, katanya kerajaan juga bersetuju mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran BPT sekitar RM150 juta untuk tempoh enam bulan mulai 1 Mac hingga 31 Ogos depan bagi memastikan keberadaan bekalan sebanyak 24 juta kampit BPT 10 kilogram secara berperingkat di pasaran. 

“Langkah ini adalah untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka,” katanya.-BH Online