Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bermula 28 Mac hingga 6 April ini sempena Aidilfitri bagi memenuhi permintaan tinggi penumpang.

KTMB dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu diambil susulan tiket ETS habis dijual.

Menurutnya, perkhidmatan tambahan itu membabitkan dua perjalanan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral dan dua perjalanan lagi untuk laluan KL Sentral – Butterworth – KL Sentral.

“Tiket bagi perkhidmatan tren tambahan ini akan mula dijual esok bermula jam 10 pagi. Sepanjang tempoh operasi, ia akan menawarkan 1,260 tempat duduk sehari, termasuk pilihan kelas perniagaan.

“Secara keseluruhan, sebanyak 12,600 tempat duduk disediakan bagi memenuhi permintaan pengguna,” katanya.

Jadual perjalanan tren tambahan bagi sektor Padang Besar ke KL Sentral adalah tren EP9283 (11.05 pagi hingga 4.30 petang) dan tren EP9286 (5 petang hingga 10.20 malam).

Bagi sektor Butterworth ke KL Sentral pula, tren EP9185 akan bergerak dari Butterworth pada jam 11.20 pagi hingga 3.25 petang, manakala tren EP9186 akan bertolak dari KL Sentral pada 4.45 petang hingga 8.50 malam.

KTMB turut menggalakkan penumpang merancang perjalanan serta membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan dan mengelak kehabisan tiket pada saat akhir.

“Pengguna juga dinasihatkan tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk.

“Tiket boleh didapati secara tanpa tunai menerusi aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB,” katanya.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.-BH Online