Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peniaga termasuk di Bazar Ramadan, dilarang menggunakan peralatan yang pembuatannya bukan untuk tujuan penyimpanan atau penyediaan makanan, dalam mengendalikan bahan jualan mereka.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan, hari ini, menegaskan ia termasuk menggunakan bekas seperti akuarium sebagai pengganti balang air, tong sampah hitam untuk menyimpan bahan mentah, mahupun peralatan lain yang tidak sesuai.

KKM menekankan bahawa ia boleh menyebabkan pencemaran makanan, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan terhadap pengguna.

“Selaras Akta Makanan 1983 serta peraturan bawahnya, KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) akan terus menjalankan pemantauan ke atas makanan yang dijual sepanjang Ramadan bagi memastikan kepatuhan terhadap standard keselamatan makanan yang ditetapkan.

“Aktiviti pemantauan yang dijalankan di sepanjang rantaian makanan ini sudah dimulakan sejak sebelum Ramadan, meliputi pemeriksaan ke atas sumber bahan mentah, tempat penyediaan makanan dan peniaga yang dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain di Bazar Ramadan, pemeriksaan turut diperluaskan ke hotel yang menyediakan bufet, premis pembekal bahan mentah serta premis penyediaan ais.

“Ia bagi memastikan semua pihak yang terbabit dalam penyediaan makanan, mematuhi piawaian kebersihan dan keselamatan yang ditetapkan,” katanya.

KKM turut menasihati peniaga supaya tidak menyediakan juadah terlampau awal, dan makanan perlu dibawa dalam kenderaan yang bersih serta tidak bercampur dengan bahan kimia bukan makanan dan barangan lain tidak berkaitan.

“Makanan juga perlu dihidangkan dalam bekas yang bersih dan bertutup; sentiasa menggunakan penyepit, senduk, sudu atau sarung tangan yang bersih untuk mengendalikan makanan; dan elak menghidang makanan secara bertindih antara satu sama lain.

“Penjual juga perlu memakai pakaian pelindung, iaitu apron dan penutup kepala yang bersih, selain tidak memakai barang kemas, jam tangan dan sebagainya yang boleh menyebabkan pencemaran ke atas makanan. 

“Tidak melakukan amalan tidak baik seperti menggaru kepala, bersin atau batuk ke arah makanan; membasuh tangan setiap kali selepas ke tandas dan mengendalikan benda kotor; dan juga tidak menjual baki makanan yang tidak terjual, pada keesokan hari,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, KKM juga akan memperhebatkan kempen kesedaran melalui pendidikan kesihatan lebih meluas dengan menggunakan pelbagai platform komunikasi, termasuk media sosial, televisyen dan radio.

Justeru, KKM menasihati orang ramai mengutamakan keselamatan makanan sepanjang Ramadan dengan mengamalkan panduan keselamatan makanan ditetapkan.

“Antaranya, mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan; lebihan makanan atau makanan yang dibeli untuk sahur disimpan segera dalam peti sejuk; dan makanan yang disimpan untuk sahur perlu dipanaskan dengan sempurna sebelum dimakan.

“Selain itu, memastikan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak lebih tiga hari; serta membeli juadah di bazar dengan memilih gerai bersih dan mengamalkan pengendalian makanan yang baik.

“Panduan keselamatan makanan dinyatakan ini perlu dipraktikkan oleh orang ramai sepanjang Ramadan bagi mengelakkan insiden keracunan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan,” katanya.-BH Online