KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak menafikan kelompongan dalam sistem penguatkuasaan antara punca Malaysia menjadi pusat lambakan sisa elektronik (e-waste) dari negara maju.
Justeru, Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kelemahan yang wujud itu perlu dilihat secara menyeluruh kerana ia membabitkan pelbagai agensi dan jabatan.
“Kita tidak nafikan (wujudnya kelompongan dalam penguatkuasaan).
“Soal penguatkuasaan dan keberkesanannya ini membabitkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan banyak lagi.
“Kita perlu lihat secara menyeluruh bagaimana untuk atasi perkara ini sebab isu ini menjadi satu perkara yang sangat membahayakan buat rakyat kita.
“Jadi, kita akan ambil perdekatan yang tegas dalam hal ini untuk memastikan keselamatan rakyat terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meluncurkan Penguatkuasaan Akta A1667 / Kaedah-Kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025 Di Wilayah Persekutuan Dan Penggunaan Sistem Ipayment di Taman Eko-Rimba (TERKL) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr Ching Thoo Kim (kiri) dan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim (kanan).
Media sebelum ini melaporkan, Malaysia masih menjadi satu daripada pusat lambakan e-waste dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman dan United Kingdom.
Pakar tadbir urus alam sekitar dan sains kelestarian, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman dilaporkan berkata, berdasarkan laporan sebelum ini, terdapat sekurang-kurangnya 200 loji yang mengitar semula e-waste secara haram di negara ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata keputusan China memperketatkan kemasukan e-waste ke negara mereka juga menjadi faktor lambakan sisa elektronik di Malaysia.
“Apabila China memperketatkan kemasukan e-waste ke negara mereka, sejak itu masalah sisa buangan elektronik ini menjadi cabaran kepada negara penandatangan Konvensyen Basel seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina.
“Selain itu, Amerika Syarikat (AS) bukan negara penandatangan Konvensyen Basel. Jadi, sisa buangan elektronik yang keluar dari negara itu bukan menjadi kesalahan bagi negara mereka… Ini antara cabaran yang kita hadapi,” katanya.
Konvensyen Basel ialah satu usaha antarabangsa bagi membendung kemasukan sisa toksik atau sisa berbahaya dari negara maju ke negara membangun.-BH Online