GEORGETOWN: Jerman dan Turkiye secara rasmi diterima sebagai pemerhati Mesyuarat Permukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) bagi tempoh 2024 hingga 2027.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata keputusan sebulat suara dicapai selepas beberapa kali permohonan kedua-dua negara itu untuk menyertai ADMM sebagai pemerhati tidak diterima secara dalam kalangan beberapa negara anggota sebelum ini.
“Seperti kita sedia maklum, penerimaan dan keputusan bagi ASEAN memerlukan konsensus. Tahun lalu dan sebelumnya, permohonan ini tidak dipersetujui beberapa negara, menyebabkan ia tidak berjaya.
“Namun tahun ini di bawah Kepengerusian ASEAN, semua pihak akhirnya bersetuju, membolehkan Jerman dan Turkiye diterima sebagai pemerhati dalam program ADMM,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Permukiman ADMM 2025 di Batu Ferringhi, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, penyertaan Jerman dan Turkiye itu membantu mengukuhkan kedudukan ADMM sebagai satu kerangka keselamatan serantau yang terbuka dan inklusif.
Beliau turut melihat keputusan itu menandakan persetujuan negara anggota untuk terus memperkukuh ADMM sebagai platform utama dalam menangani cabaran keselamatan serantau.
“Penyertaan negara-negara ini sebagai pemerhati, pastinya akan menyumbang perspektif, pandangan, kepakaran hal-hal pertahanan dan juga dalam hal-hal keselamatan yang boleh menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ASEAN kita.
“Penyertaan mereka sebagai negara pemerhati juga akan menyumbang kedudukan ADMM sebagai sebuah kerangka keselamatan serantau yang penting,” katanya.
Mohamed Khaled ketika ditanya mengenai penyertaan Timor-Leste sebagai pemerhati dalam ADMM 2025 berpandangan peluang itu dapat memberi pendedahan awal kepada negara berkenaan sebelum diterima sebagai anggota penuh ASEAN.
“Ini membantu pembangunan kapasiti mereka agar apabila diterima nanti, tidak wujud jurang besar antara Timor-Leste dan negara anggota ASEAN yang lain,” katanya.
Sesi Permukiman ADMM adalah pertemuan tidak formal dalam kerangka ADMM melibatkan Menteri Pertahanan dari 10 negara anggota ASEAN dan turut disertai Timor-Leste sebagai pemerhati.
Pertemuan antara lain memberi ruang diskusi berkenaan isu keselamatan serantau dengan lebih mendalam, mengeratkan hubungan kerjasama serta merumuskan pendekatan kerjasama masa depan dalam sektor keselamatan pertahanan serantau.
Lebih 150 delegasi negara anggota ASEAN dan Sekretariat ASEAN menghadiri mesyuarat permukiman itu yang diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 yang bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan.-BH Online