Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan melalui Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) sedang berunding dengan pihak berkuasa Mesir secara ‘intel-to-intel’ bagi memuktamadkan kaedah dan proses penghantaran pulang rakyat Palestin yang berada di negara ini ke Mesir.

Langkah itu diambil susulan kekecohan membabitkan rakyat Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada 4 Januari lalu, sebagaimana tular di media sosial.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyuarakan keyakinan bahawa rundingan dijalankan itu akan berjaya, melihat kepada perkembangan konflik semasa di Gaza yang semakin baik. 

“Kementerian Pertahanan optimis bahawa rundingan ini akan berjaya mengambil kira perkembangan konflik semasa di Gaza yang semakin baik susulan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran rakyat Palestin yang dipenjarakan di penjara Israel.

“Selain itu, pembebasan tebusan oleh Hamas dengan Israel berjaya dilaksanakan sejak 15 dan 20 Januari lalu,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang ingin tahu punca tercetusnya insiden kekecohan membabitkan warga Palestin di WTKL seperti yang tular di media sosial dan apakah tindakan susulan kerajaan supaya kejadian sama tidak berulang. 

Untuk rekod, 127 rakyat Palestin dibawa ke Malaysia untuk mendapatkan rawatan akibat peperangan dengan rejim Zionis.

Mengulas lanjut, menurut Mohamed Khaled, insiden kekecohan itu tercetus disebabkan tekanan emosi membabitkan sebilangan rakyat Palestin yang ingin dihantar pulang ke Mesir dengan kadar segera.

Tambahnya, pergerakan terhad di dalam WTKL sedikit sebanyak memberi tekanan kepada mereka yang sudah menginap di sana lebih empat bulan.

Beliau turut memberitahu, selaras keputusan Jemaah Menteri pada 8 Januari lalu, Majlis Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dipertanggungjawab bagi urusan kebajikan dan pembayaran untuk penempatan sementara rakyat Palestin setelah dipindahkan dari WTKL. 

Katanya, gerak kerja MAIWP turut dibantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). 

“Bagi aspek keselamatan di penempatan sementara pula, ia akan diselaraskan oleh Kementerian Dalam Negeri(KDN). 

“Kementerian Pertahanan melalui ATM (Angkatan Tentera Malaysia) akan memberi kerjasama kepada kementerian dan agensi yang berkaitan dalam urusan perpindahan rakyat Palestin dari WTKL ke penempatan yang baharu agar dapat disegerakan bagi mengurangkan tekanan emosi dan mental sementara menunggu penghantaran pulang ke Mesir,” katanya.-BH Online